Tidak Serik, Pemandu E-Hailing Didenda Lagi Kerana Hina Agong

| April 7, 2021 | 0 Comments

Tidak Serik, Pemandu E-Hailing Didenda Lagi Kerana Hina Agong | Seorang lelaki tidak serik apabila dia sekali lagi dengan beraninya membuat komunikasi jelik menghina Yang Di-Pertuan Agong meskipun sudah didenda sebanyak RM 16,000 pada tahun lalu.

Kuala Lumpur: Seorang pemandu e-hailing yang didenda sebanyak RM 16,000 pada tahun lalu di atas kesalahan membuat komunikasi jelik terhadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah didenda lagi RM 7,000 atas kesalahan sama di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Sufazrin Amin Ismail,27, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas prtuduhan yang disabitkan kepadanya.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjarakan selama enam bulan sekiranya dia gagal untuk membayar denda itu. OKS membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Sufazrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelek sifatnya dengan niat untuk menyakiti orang lain melalui aplikasi twitter dengan menggunakan nama profil “Fazr Ismail”.

Hantaran dibuat di antara pukul 1.55 petang pada 6 Januari 2020 yang kemudian dibaca pada 8 Januari 2020 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM 50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua–duanya sekali.

Terdahulu Sufazrin yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman ringan serta mengakui menyesal dengan apa yang telah dia lakukan.

“Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia…saya insaf dan kesal serta berjanji tidak mengulangi kesalahan sama,”katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajarah kepada OKS.

Meskipun bebas bersuara tetapi institusi Raja di negara ini perlu dihormati,” kata Noor Dayana.

Pada Ogos tahun lalu, Sufazrin pernah didenda sebanyak RM 16,000 oleh Mahkamah sama kerana membuat empat hantaran komunikasi menghina Yang Di-Pertuan Agong.

Sumber: Kosmo

 

Tags: , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *