Seorang maut, manakala enam lagi termasuk kanak-kanak berusia dua tahun cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan dua kenderaan.

Kemalangan terbabit juga melibatkan sebuah lori di Kilometer 26.5 Jalan Kota Bharu -Kuala Krai dekat Merbau Chondong, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah, berkata mangsa maut itu adalah pemandu kereta Subaru, Muhammad Raimi Rajami, 35, yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Tanah Pasir Mas.

Selain itu, katanya bahawa enam lagi membabitkan tiga penumpang kereta Subaru termasuk kanak-kanak dan pemandu serta dua penumpang PERODUA Axia turut mengalami kecederaan di badan.

“Kemalangan berlaku pada jam 7.48 malam apabila kereta PERODUA Axia yang dipandu lelaki berusia 37 tahun melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori yang berada di depannya.

“Akibat perlanggaran itu, kereta PERODUA Axia berkenaan hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan kereta Subaru dipandu mangsa.

“Ketika kemalangan berlaku, kereta dipandu Muhammad Raimi sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menuju ke Kota Bharu. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain daripada itu, Mohd Zahir berkata bahawa mangsa yang maut dan cedera telah dihantar ke Hospital Machang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian.

“Bagaimanapun siasatan lanjut kes itu masih dijalankan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Share.

Leave A Reply