Tiga Peniaga Dikompaun Benarkan Pelanggan Makan Di Warung | Ketika negara masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mana-mana restoran atau warung dibenarkan untuk beeroperasi tetapi tidak dibenarkan untuk pelanggan ‘dine in’. Namun, terdapat juga sesetengah premis yang masih degil untuk membenarkan pelanggan mereka makan di situ.
Pasir Puteh: Baru-baru ini tiga peniaga warung di ceruk kampung di daerah ini masing-masing telah dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri, berkata tindakan itu diambil selepas pihak polis mendapati warung berkenaan membenarkan pelanggan makan di situ.
Katanya, mereka mengambil mudah SOP kerana menganggap lokasi kedai di ceruk kampung tidak dipantau penguatkuasa.
“Kita minta penduduk bekerjasama membasmi Covid-19 dengan mengikut SOP yang ditetapkan memandangkan daerah ini antara penyumbang tertinggi angka kes di negeri ini,” katanya ketika ditemui di kawasan kawalan PKPD Taman Merbau Utama, di sini.
Beliau mengulas lanjut, terdapat dua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah berkenaan iaitu di Taman Merbau Utama dan Taman Sri Purnama.
Beliau berkata, masih ada lagi penduduk yang berdegil tidak mengenakan pelitup muka apabila berada di tempat awam dan melanggar pelbagai SOP yang lain.
Pasir Puteh turut menjadi daerah tertinggi mencatat angka positif Covid-19 Kelantan apabila seramai 34 kes baharu dengan jumlah 131 kes dicatatkan semalam.
Terdahulu, Azmir bersama ahli Jawatankuasa Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) bersama Pengerusi Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Nor Hafika Md Zaki menyampaikan 149 bungkusan sumbangan kepada barisan hadapan.
Sumber: Berita Harian