Tiga Penjenayah Menyamar Sebagai Anggota Polis Lakukan Pemerasan, Rompakan Ditahan

| June 9, 2021 | 0 Comments

Tiga Penjenayah Menyamar Sebagai Anggota Polis Lakukan Pemerasan, Rompakan Ditahan | Ketika negara sedang dilanda wabak penularan Covid-19 yang semakin meningkat ini, terdapat segelintir masyarakat yang melakukan pelbagai jenayah di luar sana. Baru-baru ini, dipercayai tiga penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis bagi melakukan pemerasan dan rompakan ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, semalam.

Tiga Penjenayah Menyamar Sebagai Anggota Polis Lakukan Pemerasan, Rompakan Ditahan

Dalam kejadian berkenaan,suspek yang berusia di antara 28 hingga 32 tahun itu ditahan semasa Ops Cantas oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) kira-kira pada pukul 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tangkapan berkenaan dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian rompakan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam kira-kira pukul 6.20 pagi kelmarin.

Beliau mengulas lanjut, kejadian berlaku ketika salah seorang mangsa lelaki sedang mengambil rakannya di hadapan rumah yang didiami oleh enam individu iaitu dua lelaki dan empat wanita.

Katanya, dua lelaki itu secara tiba-tiba didatangi tiga suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru dengan memperkenalkan diri sebagai polis.

“Suspek menyuruh mereka masuk ke dalam rumah dan mengarahkan penghuni-penghuni lain masuk ke dalam satu bilik di tingkat atas.

“Suspek kemudiannya memanggil salah seorang dari dalam bilik untuk keluar dari bilik sebelum mereka beredar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, suspek telah menyerahkan semula kad pengenalan salah seorang mangsa, namun tujuh telefon bimbit dilaporkan telah dilarikan.

Sementara itu, menurut Noorzainy, siasatan lanjut telah dilakukan dan mendapati ketiga-tiga suspek yang positif dadah jenis syabu itu mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Siasatan turut mendapati suspek berusia 34 tahun memiliki 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala dua suspek berusia 28 tahun miliki enam dan empat rekod.

“Polis merampas pelbagai barangan seperti beberapa unit telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Bezza serta plastik yang tertera logo dan tulisan Polis Diraja Malaysia,” katanya lagi.

Menurut Noorzainy, pihaknya meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan polis kerana suspek sering memperdaya mangsa kononnya untuk membuat tangkapan khalwat dengan menyasarkan rumah yang didiami individu bujang.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan.

Sumber: Kosmo

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *