Tiga Termasuk Seorang Nenek Dan Cucu Cedera Parah

| May 3, 2021 | 0 Comments

Tiga Termasuk Seorang Nenek Dan Cucu Cedera Parah | Malang buat tiga mangsa apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung sehingga menyebabkan ketiga-tiga mengalami kecederaan parah termasuk seorang nenek dan cucunya dalam satu kemalangan yang membabitkan dua motosikal di simpang empat Jalan Parit 3 1/2 Barat, Sungai Besar, di sini, semalam.

Tiga Termasuk Seorang Nenek Dan Cucu Cedera Parah

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, wanita yang berusia 51 tahun mengalami pendarahan di kepala dan cedera pada tapak kaki kanan manakala cucunya yang berusia 13 tahun pula patah peha kanan.

Sementara seorang lagi mangsa lelaki berusia 38 tahun retak tulang pinggul dan patah tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa lelaki menunggang motosikal dan dalam perjalanan dari rumahnya di Parit 1 1/2 Barat ke rumah bapa saudaranya di Parit 3 1/2 Barat untuk bekerja.

Beliau berkata, wanita dan cucunya pula menaiki motosikal dari rumah mereka di Tebuk Pulai menghala ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar.

Katanya, setiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggangi wanita terbabit dipercayai melintas dari sebelah kiri jalan dari arah jalan Parit 3 1/2 Barat dan pada masa yang sama, motosikal lelaki yang berada di laluan utama tidak sempat membrek dan melanggar motosikal wanita itu pada bahagian hadapan motosikal.

Menurutnya, akibat daripada pelanggaran itu, kedua-dua motosikal terbabas ke bahu sebelah kiri jalan dari arah jalan Parit 3 1/2 Barat lalu terjunam ke dalam parit.

Agus Salim berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun katanya. wanita dan lelaki terbabit kemudiannya dirujuk ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

Kes akan disiasat mengiku Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Metro

Tags: , , , , , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *