Tiga wanita mengalami kecederaan sewaktu mendaki Gunung Nuang | Tiga wanita yang mengalami kecederaan sewaktu mendaki Gunung Nuang di Hulu Langat terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk dibawa turun.

Tiga wanita mengalami kecederaan sewaktu mendaki Gunung Nuang

Mereka yang terdiri daripada Amal Nur Izzah Syamsul Fauzy, 21, yang mengalami kecederaan pada pergelangan kaki sementara Siti Shakira Samaludin, 25, serta Nurul Izatul Ain Wan Ahmad, 25, mengalami kekejangan otot.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mereka penerima panggilan kecemasan itu pada jam 6.34 petang Selasa sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, seramai 38 orang peserta yang mengikuti aktiviti pendakian tersebut sebelum mereka semua dipecahkan kepada dua kumpulan kecil selepas salah seorang daripadanya mengalami kecederaan di pergelangan kaki.

Jelasnya, semasa mereka meneruskan perjalanan terdapat dua lagi peserta yang turut mengalami kekejangan di kaki. Mereka yang mengalami kecederaan bersama lapan peserta yang lain diarahkan berkumpul di Kem Lolo untuk tindakan menyelamat oleh JBPM.

“Sementara peserta yang lain selamat sampai ke kem utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, ketiga-tiga mangsa akhirnya berjaya dibawa turun secara berperingkat bermula pada jam 5.23 pagi dan berakhir pada 6.09 pagi pada Rabu.

“Satu pasukan penyelamat bergerak ke Kem Lolo untuk membawa turun mangsa sementara mendapatkan pasukan bantuan dari unit khas yang berfungsi sebagai unit bantuan logistik.

“Mangsa pertama yang berjaya dibawa turun ialah Nurul Izatul Ain pada jam 5.23 pagi diikuti oleh Amal Nur Izzah (6 pagi) dan mangsa yang terakhir Siti Shakira 6.09 pagi,” katanya.

Sumber : Sinar Harian 

 

Share.

Leave A Reply