Tindakan Lelaki Mengamuk Acu Parang Di Jalanraya Buat Ramai Cemas

| October 17, 2021 | 0 Comments

Tindakan Lelaki Mengamuk Acu Parang Di Jalanraya Buat Ramai Cemas | Temerloh – Pengguna jalan raya di Jalan Temerloh-Maran berhampiran Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh di sini digemparkan dengan tindakan seorang lelaki tidak berbaju yang ‘mengamuk’ dengan mengacukan parang kepada kenderaan yang lalu lalang di situ.

Tindakan lelaki berkenaan menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas apabila ramai pengguna jalan raya tidak berani melalui kawasan itu kerana bimbangkan risiko keselamatan.

Seorang pengguna jalan raya, Khaidir Ahmad, 59, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu dia dalam perjalanan menaiki kereta ke arah Maran.

“Apabila tiba di jalan berhampiran dengan Hoshas berkenaan saya lihat jalan sesak dan terdapat seorang lelaki tidak berbaju sedang memegang parang dan mengacukannya kepada kenderaan yang lalu.

“Saya berasa terkejut namun memberanikan diri memandu kereta lalu di situb dan bernasib baik tidak diserang lelaki berkenaan,”katanya di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusof berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian telah menahan lelaki berusia 30-an berkenaan.

Katanya,kejadian berkenaan tidak menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kejadian itu termasuklah sekiranya suspek mempunyai masalah mental.

“Setakat ini, tiada individu yang tampil membuat laporan polis dan siasatan dilakukan terhadap suspek termasuklah juga saringan air kencing,”ujarnya.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *