Tragedi Berdarah Sebelum Berbuka Puasa, Suspek Tetak 4 Ahli Keluarga Masih Bersembunyi  | KOTA TINGGI: Polis percaya suspek lelaki yang menetak empat ahli keluarganya hingga parah ketika menunggu untuk berbuka puasa di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili dekat sini, pada Khamis lalu, masih bersembunyi di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata pihaknya kini giat mengesan suspek berusia 38 tahun itu yang juga pekerja ladang nanas.

“Kami yakin suspek masih bersembunyi di Johor dan jika ada tangkapan kami akan maklumkan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Hussin dalam kenyataan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7.11 malam ketika empat beranak itu menunggu waktu berbuka puasa.

Suspek dikatakan tiba-tiba mengamuk sebelum menetak menggunakan parang terhadap isterinya berusia 30-an dan ibu mentua berusia 50-an serta dua adik iparnya masing-masing lelaki berusia 16 tahun dan perempuan berusia 30-an.

Semua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, dua anak suspek berusia lima dan dua bulan selamat dalam kejadian itu.

“Punca kejadian belum diketahui dan polis giat menyiasat motif serangan.

“Polis giat mengesan suspek dari FELDA Air Tawar 3, bagi membantu siasatan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019-5121568 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebat.

SUMBER : Berita Harian

Share.

Leave A Reply