TS Muhyiddin Rasa LEGA Dgn Keputusan Mahkamah dlm Kes Najib. Ini PUNCANYA.| PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui lega dengan keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, keputusan itu bagi membalas tindakannya yang menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah pada skala yang besar menerusi penyelewengan dana 1MDB dan SRC International melibatkan Najib.

“Alhamdulillah, perjuangan saya dan rakyat Malaysia menentang rasuah akhirnya terjawab di Mahkamah Persekutuan semalam.

“Walaupun saya dihukum dengan pemecatan dari kerajaan dan parti pada ketika itu, saya terus istiqamah dengan prinsip menegakkan yang hak.

“Hari ini, saya bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang konsisten melawan rasuah dan penyelewengan dapat menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, terbukti sistem kehakiman negara bebas dapat menjamin keadilan dan mengembalikan maruah negara yang tercalar.

“Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika saya menjadi Perdana Menteri.

“Walaupun ada desakan politik supaya saya campur tangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walau akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan.

“Pendakwaan dalam kes 1MDB yang melibatkan penyelewengan dana berjumlah RM2.6 billion masih belum selesai. Begitu juga kes rasuah yang melibatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) masih dalam proses perbicaraan di mahkamah, selain kes-kes berprofil tinggi yang lain.

“Saya berharap, kebebasan badan kehakiman di negara kita terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik dari mana-mana pihak agar keadilan dapat tertegak,” katanya.

Tambahnya, tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi negara akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral.

“Atas segalanya, saya mendoakan agar Malaysia bebas sepenuhnya daripada amalan kleptokrasi, dijauhi daripada bala bencana dan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera,” katanya.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply