Tuduh Hakim Korup, Bekas Menteri Dipenjara

| January 13, 2021 | 0 Comments

Tuduh Hakim Korup, Bekas Menteri Dipenjara | Colombo, Sri Lanka – Seorang ahli politik pembangkang yang lantang bersuara dihukum penjara selama empat tahun kelmarin disebabkan menuduh majoriti hakim di negara itu sebagai korup.

Ranjan Ramanayake, 57, mendakwa dia menjadi sasaran kerana menyuarakan kebenaran terhadap rasuah.

Dia merupakan seorang bekas timbalan menteri dari Parti Bersatu Kebangsaan yang mentadbir negara pada tahun 2019.

Dia dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Agung kerana mengeluarkan kenyataan pada 2017 kepada sekumpulan pemberita di luar kediaman rasmi perdana menteri di Colombo.

“Kami menyabitkan dia kerana kesalahan menghina mahkamah dan menjatuhkan hukuman penjara kerja berat,” menurut keputusan mahkamah setebal 20 muka surat yang dilihat agensi berita AFP.

“Dia mengaku dalam bukti dikemukakan ke mahkamah bahawa dia mengatakan kata-kata seperti berikut: Majoriti di Sri Lanka adalah hakim korup, peguam korup. Mereka bekerja untuk wang’,” menurut keputusan mahkamah.

Ramanayake merupakan seorang timbalan menteri dalam kerajaan pimpinan Presiden Maithripala Sirisena pada ketika itu semasa dia mengeluarkan kenyataan tersebut selepas satu mesyuarat bersama pegawai-pegawai kanan anti rasuah.

Selepas kerajaan berubah, Ramanayake ditangkap dan dituduh atas dakwaan membuat rakaman lebih 100,000 panggilan telefon peribadi.

Dalam beberapa rakaman itu, Ramanayake didengar membincangkan kes mahkamah bersama hakim, polis, ahli-ahli politik dan selebriti tempatan.

Satu siasatan berasingan terhadap rakaman itu masih belum diselesaikan.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *