Tular Ibu Bapa Kesal Dengan Sistem KAFA. Ini Penjelasan Sebenar  | Satu hantaran di page Facebook Penang Kini ada menyuarakan perasaan kesal dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke kelas pengajian Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) namun tidak menerima hak yang sepatutnya.

Kata ibu bapa pelajar, sudah berbulan-bulan sekolah KAFA dibuka namun buku teks untuk pengajian dan pembelajaran masih belum diterima oleh murid-murid.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata ibu bapa turut berkongsikan rasa yang sama dan kebanyakan mereka turut mengeluh berikutan yuran pengajian KAFA yang mahal.

Namun begitu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menafikan berlaku kelewatan penyerahan buku teks Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di negeri itu seperti didakwa ibu bapa dan tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.

JHEAIPP dalam kenyataan berkata proses penghantaran buku teks KAFA untuk murid-murid di sekolah rendah agama di Pulau Pinang berjalan mengikut jadual dan perancangan yang telah ditetapkan.

“Tidak berlaku kelewatan penyerahan kerana ketika ini buku-buku teks KAFA tersebut dalam proses penghantaran ke sekolah-sekolah dan ia dijangka selesai sebelum akhir bulan ini,” menurut kenyataan itu hari ini.

JHEAIPP turut memaklumkan sistem itu memang berjalan sepertimana dilaksanakan sebelum ini, namun disebabkan tahun ini sesi persekolahan bermula lewat iaitu mulai hujung Mac menyebabkan ibu bapa merasakan sudah hampir setengah tahun sesi sekolah bermula.

Menurut JHEAIPP, bermula Julai ini semua murid akan mula menggunakan buku teks KAFA bagi sesi pembelajaran seterusnya.

JHEAIPP turut memaklumkan untuk tiga bulan pertama sesi persekolahan bermula 27 Mac hingga 27 Jun, setiap pelajar telah dibekalkan dengan buku modul SALAM yang mengandungi pelajaran asas mengikut tahun persekolahan masing-masing.

SUMBER : AlHijrah Online

Share.

Leave A Reply