Seorang penganggur yang cuba menculik seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dalam satu kejadian tular sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah majistret Johor Bahru pada Khamis.

Tular Lelaki Cuba Culik Budak Sekolah. Ini NASIB Yang Diterima

Hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh, Muhammad Rahim Ahmad, 26, selepas menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Terdahulu, pada 17 Mei lalu, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun berhampiran Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang pada pukul 11.30 pagi, 11 Mei lalu.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada tertuduh berkuatkuasa sejak dari tarikh penahanan.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun beserta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Muhammad Arif Marzuki dan Danial Munir.

Terdahulu pada 11 Mei, beberapa video tular memaparkan tertuduh menculik seorang kanak-kanak lelaki yang memakai pakaian sekolah agama.

Namun, cubaan culik itu tidak berjaya apabila suspek dapat ditahan oleh orang awam.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply