Tular Video 2 Kumpulan Bergaduh Bersenjatakan Parang. |KUALA SELANGOR: Tindakan enam lelaki yang tular bergaduh di Taman Melor, Bestari Jaya di sini, semalam mengundang padah apabila dicekup polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, penahanan kesemua suspek berusia 22 hingga 35 tahun itu dilakukan selepas menerima maklumat kejadian pukul 6.15 petang.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan itu melibatkan sekumpulan lelaki dipercayai akibat perselisihan faham. Permohonan reman sudah dibuat di Majistret Kuala Selangor dan enam suspek direman selama empat hari hingga Khamis ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan.

Ramli berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatmaliani di talian 0136716323 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 34 saat memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih melanggar sebuah kereta jenis Proton Waja di lokasi tersebut. Rakaman itu menunjukkan beberapa lelaki yang dipercayai bersenjatakan parang itu memukul kedua-dua kenderaan berkenaan.

Sumber : Um & Info Roadblock

Share.

Leave A Reply