Tumpahan Minyak Punca Beberapa Kenderaan Hilang Kawalan | Tumpahan minyak di atas jalan raya sememangnya berbahaya kerana ia boleh menjadi punca kepada kemalangan berlaku bahkan terdapat kes kemalangan maut yang berpunca dari tumpahan minyak. Hal ini kerana minyak tersebut menyebabkan permukaan jalan menjadi licin sekaligus menyebabkan kenderaan sukar dikawal.

Tumpahan Minyak Punca Beberapa Kenderaan Hilang Kawalan

Kuala Selangor: Beberapa kenderaan dilaporkan hilang kawalan akibat jalan licin berikutan berlaku tumpahan minyak di bawah jejambat Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Parit Mahang, di sini pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, beliau menerima maklumat berhubung perkara itu daripada penduduk setempat.

Katanya, beliau yang dimaklumkan hal itu terus bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri dakwaan itu.

Jelasnya, sejurus tiba di lokasi kejadian beliau terus menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.50 malam Ahad.

Menurutnya, seramai tujuh orang anggota BBP Kuala Selangor dikerahkan ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati berlaku tumpahan minyak sepanjang 30 meter di atas jalan raya dan anggota bertindak membersihkan tumpahan menggunakan satu aliran salur dengan bantuan pengepaman air tangki daripada jentera bomba.

Beliau berkata, operasi pembersihan itu dilakukan kira-kira 30 minit dan operasi itu ditamatkan pada jam 11.39 malam.

Tambahnya, pihaknya bagaimanapun tidak dimaklumkan berapa kenderaan yang terlibat dan hanya dimaklumkan untuk membersihkan kawasan tumpahan.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply