Tun M Beri Tempoh 7 Hari Pada Anwar Ibrahim. Ini SEBABNYA. | PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik balik kenyataan dibuat Perdana Menteri itu pada Kongres Nasional Khas PKR baru-baru ini, yang didakwa fitnah terhadapnya.
Dr Mahathir berkata, notis tuntutan telah diserahkan melalui serahan tangan di pejabat Perdana Menteri di sini, semalam.
“Saya beri masa tujuh hari untuk dia (Anwar) tarik balik kenyataan atau tunjuk bukti dan lakukan beberapa acara untuk menunjuk bahawa dia tidak percaya apa yang disebut. Tapi kalau dalam tujuh hari tak jawab, maka saya bebas untuk ambil tindakan lain yang dibolehkan oleh undang-undang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 pada 18 Mac lalu berkata, rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu lagi diperbodohkan dengan kenyataan pemimpin tertentu yang mendakwa memperjuangkan hak kaum berkenaan, namun dalam masa sama membolot kekayaan.
“Ada orang sekarang selepas 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham. Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang hilang kuasa, bicara soal rakyat,” kata Anwar.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, tuduhan dilemparkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memburukkan nama dan reputasinya.
“Bagi saya fitnah ini amat teruk kerana memberi gambaran seolah-olah saya curi duit, hilang duit, tak bayar cukai, saya seorang ‘scoundrel’ (penyangak) dan macam-macam lagi dalam ucapan kepada PKR dan ia dilapor oleh media utama atau media sosial.
“Nama saya diguna, jelas sekali ucapan dia merupakan satu fitnah terhadap diri saya bukan orang lain. (Ini) kerana saya orangnya yang berkuasa selama 22 tahun campur 22 bulan. Jadi perdana menteri ke-4 dan ke-7. Tujuannya memburukkan nama saya dengan tuduhan yang tidak berasas.
“Walaupun dahulu saya biasa dengar dia berkata seperti itu tapi pada masa itu dia bukan perdana menteri. Sekarang dia adalah perdana menteri dan perdana menteri mempunyai tanggungjawab dan tidak boleh buat tuduhan begitu sahaja tanpa bukti yang jelas,” katanya.
Sumber : TV3
ARTIKEL LAIN UNTUK DI BACA
Mahkamah Putuskan Ahmad Zahid Peroleh Semula Pasport Secara Kekal | Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjaya memperoleh semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal di Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Datuk Hanipah Farikullah selepas membenarkan permohonan Ahmad Zahid, 70, untuk mendapatkan semula kedua-dua dokumen perjalanan itu secara kekal.
Dalam keputusannya, Hanipah berkata panel-panel berpuas hati bahawa permohonan yang dibuat Ahmad Zahid mempunyai merit.
“Mahkamah sudah meneliti hujahan pemohon, oleh itu mahkamah membenarkan perintah yang dipohon oleh pemohon,” kata hakim Hanipah.
Dua lagi panel hakim yang turut bersidang hari ini ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.
Semasa prosiding responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.
Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, ketika ditemui selepas prosiding berkata, jaminan RM2 juta yang dikenakan mahkamah tinggi sebelum ini dikekalkan.
Pada 13 Februari lalu, Ahmad Zahid memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.
Ia berikutan pada 3 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen itu untuk Ahmad Zahid bagi beliau memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkamah setelah segala urusan permohonan diplomatik selesai.
Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.
Berdasarkan notis usul yang difailkan, Ahmad Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya pasport tersebut dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.
Sementara menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata, Hakim Collin terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.
Ahmad Zahid menyatakan bahawa permohonan itu sama sekali tidak bersifat mala fide (niat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan.