Tun M Sifatkan Muhyiddin Penuhi Janji, Tak Bebaskan Najib | Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengotakan janjinya, lapor portal MalaysiaNow.

Tun M Sifatkan Muhyiddin Penuhi Janji, Tak Bebaskan Najib

Dr Mahathir berkata, perkara itu berkait tindakan Muhyiddin yang berjanji untuk tidak membantu membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada pertuduhan jenayah yang didepaninya.

Muhyiddin memberi jaminan kepada saya, beliau tidak akan masuk campur dalam perbicaraan Najib dan kes-kes mahkamah yang lain.

Sekurang-kurangnya, dalam perkara ini, saya yakin Muhyiddin kotakan janjinya itu – beliau nampaknya menolak untuk gugurkan pertuduhan-pertuduhan terhadap Najib atau mendapatkan pengampunan bagi sabitan jenayahnya,” tulis pemimpin veteran itu dalam “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia.

Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia merupakan memoir setebal 304 muka surat tulisan Dr Mahathir yang bakal dilancarkan.

Memoir berkenaan mengandungi rangkuman peristiwa sepanjang 15 tahun persaraannya sebelum kembali mengetuai tampuk pentadbiran negara pada 2018 dan kemudiannya meletakkan jawatan selepas 22 bulan.

Portal itu turut melaporkan, Dr Mahathir berkata, prinsip juga telah menyebabkan Muhyiddin tumbang pada Ogos lalu, apabila beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas beberapa ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya yang didalangi Najib dan presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Dr Mahathir lagi, apabila Muhyiddin menolak untuk menghentikan prosiding mahkamah terhadap Najib, Najib ugut untuk tarik sokongan terhadap gabungan itu mengakibatkan beberapa peristiwa terjadi menyebabkan Ismail Sabri naik ke tampuk kuasa.

Tambah Dr Mahathir seperti dilaporkan MalaysiaNow, beliau juga telah mengingatkan Muhyiddin untuk tidak mengambil risiko menerima sokongan Najib seiring usaha membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada Rabu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengenepikan sabitan tujuh pertuduhan ke atasnya melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Sabitan yang dijatuhkan pada Julai tahun lalu itu turut dikekalkan iaitu hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta, namun pelaksanaan hukuman ditangguhkan.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply