Tunggu Makanan Lambat Siap, Pelanggan Serang Pekerja Restoran | WASHINGTON – Seorang pelanggan sebuah restoran di Washington, Amerika Syarikat (AS) mengamuk apabila hidangan taco yang dipesannya tidak dimasak dengan pantas, lapor akhbar New York Post semalam.
Seorang pekerja wanita Restoran Chipotle memberitahu laman berita Fox 5 bahawa pelanggan itu bertindak ganas selepas cuba merampas taco dari tangannya.
“Dia cuba merampasnya (taco), namun gagal sebelum saya membuangnya ke dalam tong sampah. Dia kemudian menjadi marah,” kata pekerja itu yang enggan identitinya didedahkan.
Rakaman kejadian memaparkan pelanggan tersebut cuba merampas kotak makanan ketika pekerja itu cuba menghidangkannya.
Setelah pekerja tersebut membuang taco ke dalam tong sampah, lelaki itu mula melempar barang ke arahnya.
Pekerja itu menutup mukanya daripada terkena barangan yang dilempar sebelum melarikan diri ke pintu belakang restoran. Tiada kecederaan dilaporkan ketika kejadian.
Menurut Polis Metropolitan, pegawai yang bertindak balas diberitahu bahawa lelaki itu menjadi marah kerana dia merasakan makanannya tidak disediakan dengan pantas.
Dia kemudian meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki skuter sewa, demikian laporan polis yang diperoleh Fox Business.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Bayi Setahun M4ut Bot Dinaiki Terbalik Slps Diserang Badak Air | LILONGWE, Malawi – Seorang bayi maut selepas bot yang membawa lebih 30 penduduk kampung merentasi Sungai Shire di daerah Nsanje, Malawi, diserang oleh seekor badak air, menyebabkan ia terbalik, lapor stesen penyiaran CNN semalam.
Jurucakap polis, Agnes Zalakoma berkata, kejadian itu berlaku awal kelmarin. Seramai 23 daripada 37 penumpang bot itu hilang dan dikhuatiri mati di dalam air yang dipenuhi dengan buaya serta badak.
“Beberapa penduduk berjaya menyelamatkan 13 orang manakala 23 yang lain hilang dan mayat seorang bayi telah ditemui,” kata Zalakoma dalam satu kenyataan sambil menambah, bayi yang meninggal dunia itu berusia setahun.
Tambah Zalakoma, pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang hilang.
“Adalah terlalu berbahaya untuk menyeberangi sungai kerana ia terlalu cetek. Sungai ini mempunyai buaya dan badak yang kebanyakan masa menyerang orang ramai,” katanya.
Menurut wakil rakyat daerah Nsanje, Gladys Ganda, kesemua mangsa ketika itu sedang menyeberangi Sungai Shire untuk ke ladang mereka di sempadan Malawi dengan Mozambique apabila bot mereka dilanggar oleh badak tersebut.
Sumber: Kosmo