Ular Sawa 10 Kg Dijumpai Dalam Mangkuk Tandas | PASIR PUTEH: Seorang lelaki dikejutkan dengan kemunculan seekor ular sawa seberat 10 kilogram (kg) di dalam mangkuk tandas rumahnya di Kampung Wakaf di sini, pada Ahad.
Kehadiran reptilia sepanjang dua meter itu disedari oleh pemilik rumah berkenaan selepas dikejutkan dengan bunyi seolah-olah serpihan kayu yang jatuh dari atap pada jam 1.05 tengah hari.
Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.05 petang.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan, lima anggota termasuk seorang pegawai telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menangkap ular sawa berkenaan.
“Setiba di lokasi, kami dapati ular tersebut sedang berlingkar di dalam tandas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurut beliau, reptilia tersebut berjaya ditangkap oleh anggotanya menggunakan penjerut, pengepit dan pengait.
Dalam perkembangan lain, ujarnya, setakat Januari hingga Ahad, sebanyak 60 ekor ular sawa telah berjaya ditangkap.
Nik Mohd Nor memberitahu, cuaca panas menyebabkan haiwan tersebut keluar dari tempat biasa untuk mencari kawasan yang lembap dan sejuk.
Sumber: SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Buaya Sebesar 5 Kaki Dalam Perut Ular Sawa
Walaupun buaya merupakan haiwan yang ganas, namun kadang-kala ia juga tidak terlepas daripada menjadi santapan si ular yang kelaparan.
Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan sebuah video yang menunjukkan seekor ular sawa Burma telah menelan seekor buaya sepanjang lima kaki.
Video itu telah dikongsikan oleh seorang saintis bernama rosiekmoore di akaun Instagram miliknya pada 1 November 2022.
Ular sawa Burma yang menelan buaya itu dikatakan sepanjang 18 kaki.
Berdasarkan video itu, pada awalnya beberapa orang lelaki dilihat memegang dan memeriksa keadaan perut ular yang dilihat kembung seakan baru kekenyangan.
Mereka kemudiannya telah memotong ular itu untuk melihat objek yang berada di dalam perut ular tersebut. Alangkah terkejutnya apabila mereka mendapati terdapat seekor buaya sepanjang lima kaki berada di dalam perut ular berkenaan.
Menerusi video itu, ular tersebut dipercayai sudah mati begitu juga dengan buaya yang berada dalam perut ular terbabit.
Video itu telah dikongsikan oleh seorang saintis bernama rosiekmoore di akaun Instagram miliknya pada 1 November 2022.
Video yang dirakam di Florida itu telah menjadi tular. Sehingga kini, ianya telah mendapat lebih 400 ribu tanda suka daripada penonton.
Terdahulu, Siakap Keli pernah berkongsikan sebuah video berkenaan bagaimana cara ular minum air.
Berdasarkan perkongsian video tersebut, seekor ular dari spesies ular sawa dilihat sedang menghilangkan dahaganya dengan meminum air dari cawan plastik.
Apa yang menarik perhatian adalah, bagaimana cara ular itu minum air tersebut. Ular berkenaan dilihat memasukkan kepalanya ke dalam cawan plastik dan kuantiti air di cawan itu tiba-tiba berkurangan.
Menerusi ciapan muat naik tersebut, ia menyatakan bahawa ular tersebut meminum air di dalam cawan tersebut dengan cara menyedutnya seperti menggunakan straw minuman.
Sumber: Siakap Keli