UMNO berisiko berdepan mudarat lebih besar jika menyekat demokrasi dalam parti itu dengan menghalang dua jawatan tertinggi parti daripada dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

UMNO Berisiko Berdepan Mudarat Besar? 'Ini' Sebabnya..

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail, menegaskan alasan memelihara kestabilan yang digunakan pihak tertentu bagi menyekat pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden, tidak berasas dan ‘memualkan’.

Katanya, alasan sama turut digunakan ketika menangguhkan pemilihan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun ia jelas tidak memberi sebarang kesan pada kekuatan UMNO apabila parti itu mencatat kekalahan terburuk dalam sejarah.

Beliau mendakwa mudarat lebih besar akan menanti parti itu jika dua jawatan berkenaan tidak dipertandingkan, yang mana UMNO akan ditolak ahli parti dan rakyat secara keseluruhan.

“Alasan sama sebelum PRU15. Konon untuk pastikan parti kuat dan menang. Menang apanya? Kalah teruk lagi ada. Paling teruk dalam sejarah, hanya 26 kerusi sahaja berbanding 54 kerusi pada PRU14.

“Paling tidak, sebelum PRU15 UMNO kuasai kerajaan. UMNO Perdana Menteri. Pergi desak PRU15 diadakan atas alasan kestabilan, sudahnya lagi porak peranda.

“Sekarang nak sekat demokrasi dengan alasan kestabilan lagi? Hanya yang gila kuasa dan kemaruk jawatan serta kepentingan sahaja tak tahu malu guna alasan konon suci macam ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Menjelang pemilihan UMNO yang perlu dilaksanakan sebelum pertengahan tahun ini, beberapa pimpinan parti tampil mendesak supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan untuk menjaga kestabilan.

Ada juga pimpinan berpendapat pertandingan dua jawatan itu berisiko menjejaskan kestabilan kerajaan, khususnya jika Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi gagal mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Pada masa sama, beberapa pemimpin lain mendesak proses demokrasi dan pemilihan dalam parti yang memerlukan pembaharuan selepas kekalahan teruk dalam PRU15.

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, menegaskan sekatan atau halangan untuk bertanding, khususnya bagi jawatan tertinggi parti akan menafikan suara dan kemahuan perwakilan akar umbi dalam memilih pemimpin yang dirasakan mampu memulihkan imej UMNO di mata rakyat.

Selain itu, katanya, perebutan jawatan Presiden UMNO memberi peluang kepada Ahmad Zahid untuk membuktikan sokongan dan keabsahan dimilikinya, sekali gus mampu memimpin parti dengan lebih baik.

“Kalau mungkin ada yang ingin bertanding, ini peluang baik kepada presiden untuk membuktikan beliau mempunyai keabsahan dan sokongan majoriti daripada ahli akar umbi untuk terus menerajui parti.

 

“Ini seterusnya membolehkan beliau melakukan program transformasi parti dengan mandat yang jelas dan berwibawa daripada ahli akar umbi. Beliau akan menjadi Presiden yang telah teruji dan lulus semua ujian dengan cemerlang,” katanya.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply