Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cawangan Masjid Tanah cedera selepas van dinaiki terbabas ke dalam longkang berhampiran Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Sungai Udang, pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa yang berusia 42 dan 23 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
Pengarah APM Melaka, Lt. Kol (PA) Kamarulsyah Muslim, memberi kenyataan berhubung kejadian itu di sini, hari ini.
Kemalangan berlaku ketika anggota terbabit dalam perjalanan ke pejabat selepas menghantar pegawai dan anggota di Akademi Latihan Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) Sungai Udang.
Laporan mengenai kemalangan diterima daripada Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah, Lt (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry pada pukul 9 pagi.
Kejadian kemalangan itu dikatakan berlaku ketika hujan lebat.
Berdasarkan maklumat awal, kemalangan dipercayai berlaku selepas van yang dipandu anggota berusia 42 tahun tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemandu itu bagaimanapun hanya cedera ringan di jari.
Manakala, penumpang, 23 sedang dirawat di Hospital Alor Gajah selepas mengadu sakit pada dada dan kepala.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10LN 166/59).
Sumber: Kosmo