Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan bas ekspres di Kilometer (KM) 24 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, semalam.

Mangsa yang maut adalah pemandu van, Mhd Rizuan Ishak, 43, yang tersepit dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu turut menyebabkan seorang kanak-kanak, Muhamad Ihtisyam Muazam ShahIdris, 11, yang juga penumpang bas ekspres patah tulang pipi pada sebelah kanan dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.

Baki 32 yang lain iaitu 31 penumpang dan seorang pemandu bas selamat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata kejadian berlaku apabila van dipandu Mhd Ridzuan dari Gua Musang menghala Kuala Krai dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas ekspres dari Klang menuju Kubang Kerian.

“Bas ekspres cuba mengelak, namun jarak van yang membawa muatan barang elektronik itu terlalu dekat menyebabkan kedua-duanya bertembung dan terbabas ke laluan sebelah kanan jalan menghala Kuala Krai.

Keadaan van yang remuk selepas terbabit kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Gua Musang. - Foto ihsan PDRM

“Pemandu van disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Seorang penumpang bas mengalami kecederaan patah tulang pipi sebelah kanan dan mendapat rawatan susulan di hospital yang sama.

“Ketika kejadian permukaan jalan basah dan cuaca hujan renyai-renyai,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

 

Sumber : BH

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

 

Bas Ekspres Jatuh Dalam Cerun, Tiga Penumpang Cedera

Tiga penumpang cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam cerun di Kilometer 24 Jalan Gua Musang – Kuala Krai di sini, pada Selasa.

Semasa kejadian jam 12.15 tengah malam itu, bas tersebut dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan melalui laluan tersebut selepas jalan ke Kuala Terengganu ditutup akibat banjir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 pagi mengenai kejadian tersebut.

“Seramai 11 anggota digegaskan ke lokasi dan mendapati seramai 13 mangsa berada di dalam bas berkenaan termasuk pemandu.

“Tiga daripada mereka iaitu seorang lelaki dan dua perempuan mengalami kecederaan ringan. Mereka telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kesemua 13 penumpang berjaya dikeluarkan dari bas yang terbalik.

Menurut beliau, laluan bas terpaksa ditukar daripada menggunakan jalan biasa iaitu Kuala Terengganu disebabkan banjir.

“Apabila sampai di tempat kejadian, bas ekspres tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan menuju ke Gua Musang kemudiannya terbalik ke dalam cerun.

“Akibatnya, bas mengalami kerosakan teruk pada bahagian sebelah kiri,” katanya.

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tidak cermat dan bertimbang rasa.

 

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply