(Video) Enam Remaja Cuba Larikan Mesin ATM Guna Avanza. Tular di Indonesia kes sekumpulan lelaki yang cuba larikan mesin ATM di daerah Aceh. Namun, kegiatan mereka gagal apabila dicekup polis. Baca seterusnya.

Baru-baru ini tular satu video di Indonesia yang memaparkan detik-detik sekumpulan lelaki cuba larikan mesin ATM.

Memetik laporan Kompas.com, kejadian tersebut berlaku di daerah Aceh pada Sabtu lalu.

Menerusi video itu, sekumpulan remaja dilihat cuba mencuri mesin ATM dengan mengikat tali pada mesin tersebut.

Difahamkan, tali itu telah ditarik dengan menggunakan kereta jenis Toyota Avanza berwarna putih.

Mesin ATM itu dilihat berjaya ditarik keluar oleh pemandu kereta tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Polis Banda Aceh, Kombes Pol Joko Krisdiyanto melalui Kasatreskrim Kompol M Ryan Citra Yudha berkata pelaku gagal mencuri mesin ATM itu.

“Itu adalah percubaan mencuri mesin ATM milik Bank Aceh,” katanya dalam keterangan rasmi kepada Kompas.com.

Jumlah keseluruhan suspek adalah seramai enam orang dan empat orang dari mereka memakai penutup muka ketika keluar dari kereta.

Sementara itu, seorang lagi pelaku sedang bersiap sedia di tempat duduk pemandu dan seorang lagi sedang memerhatikan orang ramai.
“Empat suspek sebahagiannya memasuki galeri mesin ATM Bank Aceh sambil merosakkan cangkuk mesin tersebut dan mengecat kamera CCTV di situ.

“Kemudian, beberapa suspek yang lain ‘bertugas’ untuk mengikat mesin ATM menggunakan tali penarik,” kata Kompol Ryan.

Pun begitu, tindakan penjenayah itu berjaya ‘dihidu’ oleh penduduk setempat yang melalui kawasan kejadian tersebut.

“Alhamdulillah, penduduk yang responsif dan melihat perkara ini segera mengerumuni lokasi kejadian,” katanya.

Melihat keadaan itu, kesemua suspek nekad meninggalkan mesin tersebut kerana ketakutan.

Mesin ATM itu pula dilaporkan rosak dan ditemui dalam jarak empat meter dari kedudukan asalnya.

Sementara itu, polis dilaporkan telah berjaya menangkap tiga dari enam pelaku jenayah tersebut di kawasan Lambhuk, Kecamatan Ulee Kareng dan Banda Aceh.

Dua daripada penjenayah yang ditahan adalah di bawah umur. Manakala tiga lagi pelaku sedang diburu.

Tangkapan bermula dengan maklumat mengenai keberadaan sebuah kereta jenis Toyota Avanza berwarna putih yang disyaki dibawa penjenayah ketika melakukan tindakan itu.

“Kereta itu dilihat di kawasan Lamnyong. Sebaik menerima maklumat, pasukan itu segera bertindak pantas,” kata Ryan lagi.

Sumber: SK

Share.

Leave A Reply