Dua lelaki yang menaiki Perodua Myvi bertindak melarikan diri selepas melanggar mati penunggang motosikal di Kilometer 269, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Cheneh, semalam.

(VIDEO) Langgar Lari & Curi Kereta, Dua Individu Diburu Polis

Dalam kejadian 1.15 tengah hari itu, penunggang motosikal berkenaan, Zolkafli Ahmad, 57, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke rumahnya di Kerteh.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta melanggar bahagian belakang motosikal itu sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang di situ dan meninggal di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Bagaimanapun, kedua-kedua suspek melarikan diri menuju ke arah Kuala Terengganu, tetapi terpaksa berhenti di tepi lebuh raya kerana kereta mereka mengalami kerosakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, malam tadi.

Katanya, seorang pengguna lebuh raya yang berhenti memberi pertolongan kepada mangsa, bertindak mencari kereta terbabit sebelum menemui pemandu dan penumpang kereta itu, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

“Pemuda terbabit bertanya kepada kedua-dua suspek kenapa tidak berhenti selepas melanggar mangsa dan ketika itu.

“Kedua-dua suspek kemudian bertindak masuk ke dalam kereta pemuda itu sebelum memecut kenderaan itu dan melarikan diri.

“Pemuda terbabit kemudiannya datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira jam 3 petang untuk membuat laporan polis,” katanya.

Hanyan berkata, kedua-dua suspek sedang diburu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply