(VIDEO) Lelaki Meraung Kereta Kena ‘Tarik’ Ketika Lampu Merah | SEORANG lelaki berhadapan detik getir apabila kenderaannya disamun dan dirampas dua pemuda ketika berhenti di lampu trafik dekat Sungai Puyu, Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.
Ketika kejadian, lelaki berbaju biru dan berseluar putih itu terlebih dahulu didatangi dua individu di bahagian pintu pemandu sebelum salah seorang daripadanya bertindak melarikan kereta jenis Perodua Axia terbabit.
Meskipun cuba mendapatkan pertolongan daripada orang awam di laluan berkenaan, rayuan mangsa tidak diendahkan oleh sesiapa dan kedua-dua pemuda itu berjaya meloloskan diri.
Beberapa penunggang motosikal kemudiannya cuba membantu dan mengejar si pelaku namun rakaman berdurasi 58 saat itu berakhir dengan kereta tersebut berjaya dilarikan.
Bagaimanapun, insiden terbabit dipercayai ada kaitan dengan kes tarik kenderaan dengan dua lelaki terbabit dilihat beberapa kali meminta pemandu berkenaan hadir ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Ini mesti kes tarik kereta, boleh dengar ‘pencuri’ itu kata pergi balai, nampak sangat kes tertunggak bayaran kena selesaikan di balai polis,” kata Zamri Basharuddin.
“Kereta kena tarik ni, tapi ganas betul cara dia rampas macam penyamun, itu dah dikira jenayah dan boleh libatkan kemalangan orang awam,” ujar Fairul Azmir.
“Kenapa tak ada orang yang nak tolong masa dia merayu, dah la merompak masa tengah hari mustahil tak ada yang nak membantu,” jelas Mohd Haikal Nazer.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut.
View this post on Instagram
Sumber: Majoriti
Baca Juga: Lelaki Menyamar Jadi Polis Semata-Mata Mahu Rembat Jersi Bola Sepak
Tindakan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis memperdaya peniaga untuk membeli beberapa helai jersi mengundang padah selepas diburu pihak berkuasa di Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.
Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam premis terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima satu laporan polis pada Isnin berhubung kejadian tersebut.
“Kejadian berlaku pada Sabtu pukul 8.30 malam, telah datang seorang lelaki telah datang memakai T-Shirt berwarna maroon, berseluar jeans dan memakai vest polis.
“Lelaki tersebut datang berseorangan dengan menaiki kereta jenis Perodua Axia dan tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah Rosdi, suspek memperdaya seorang peniaga dengan membeli dua helai jersi dan tidak membuat sebarang pembayaran.
“Suspek melakukan pembelian dua helai jersi dan seluar sukan yang berjumlah RM69 tetapi tidak membuat sebarang pembayaran sebelum melarikan diri.
“Polis kini sedang memburu suspek bagi membolehkan siasatan dapat dilakukan,” jelasnya.
Polis memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan.
Sumber: Majoriti