Tindakan biadab seorang pengawal keselamatan dipercayai warga asing yang melakukan provokasi kepada seorang penunda kereta mengundang padah apabila individu itu hampir dipukul di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Rabu.

Kejadian itu difahamkan berpunca akibat perlakuan pengawal terbabit yang dikatakan sengaja menendang lori itu ketika ingin menjalankan proses tunda di kawasan berkenaan.

Pengawal itu terlebih dahulu didakwa menghalang kerja-kerja tunda tersebut gara-gara lokasi berkenaan merupakan kawasan parkir berbayar.

Namun, situasi kian meruncing apabila pengawal terbabit mula berpelakuan biadab dan mencetuskan kemarahan pemandu lelaki tersebut.

Rakaman tular itu dikongsikan di laman TikTok dan hangat diperkatakan warganet sejak Rabu.

Gagal mengawal kemarahan, pemandu itu kemudiannya mula mempamerkan aksi lagak samseng apabila membuka baju dan meluru untuk memukul pengawal tersebut.

Pemilik syarikat tunda tersebut, Leong Seu Chii, 42, berkata, insiden itu tercetus selepas pengawal keselamatan tersebut menghalang pekerjanya untuk melakukan kerja-kerja tunda di kawasan terbabit.

“Dia kata situ lori tunda tak boleh letak kenderaan sebab kawasan parkir berbayar dan boleh merosakkan laluan serta jubin premis itu.

“Tapi pekerja saya beritahu kereta sudah rosak dan macam mana nak tunda kereta kalau tak boleh bergerak, lepas itu dia mula bising dan tendang lori kami.

“Lepas dah tendang dia mula datang ke arah pintu pemandu dan ajak bergaduh, siap tanya nama, syarikat mana dengan suara tinggi,” dakwanya.

Meskipun disaksikan beberapa pengawal lain, insiden itu masih berterusan dan kedua-dua individu terbabit saling berperang mulut ketika kejadian.

Mengulas lanjut berkenaan isu tersebut, Seu Chii berkata, tiada laporan polis dibuat berhubung kekecohan itu dan masalah berjaya diselesaikan dengan baik.

“Lepas dah gaduh dia tak berani nak berlawan pun dengan pekerja saya, jadi kereta terus dibawa ke bengkel.

“Pekerja saya bukan sengaja nak ajak gaduh kalau bukan dia yang mulakan dulu, boleh cakap elok-elok kenapa nak biadab,” dakwanya lagi.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan pihaknya turut meminta agar orang ramai berhenti menyebarkan berita palsu susulan kes tersebut.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak majikan pengawal keselamatan terbabit setakat ini.

Sumber: Majoriti

 

Baca Juga: Anggota Rela Maut Dipukul Depan Rumah Akibat Tegur Jiran Mabuk

Hanya kerana menegur jiran di dalam lif, seorang lelaki maut selepas dikejar dan dipukul dua beradik dipercayai mabuk di hadapan rumah mangsa di sebuah flat di Damansara di sini pada Sabtu.

Lelaki Warga Tempatan Mati Dalam Tahanan, 'Ini' Puncanya..

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan mendakwa seorang lelaki tempatan dipukul sehingga tidak sedarkan diri sekitar jam 9.15 malam, Sabtu.

“Mangsa yang berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia pada jam 10.18 malam oleh pegawai perubatan yang hadir memeriksa mangsa di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipukul di bahagian kepala menggunakan topi keledar dan sebatan kayu oleh dua lelaki tempatan di hadapan rumahnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Fakhrudin berkata, mangsa yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) secara sepenuh masa merupakan jiran kedua-dua suspek yang tinggal selang beberapa tingkat dari rumahnya.

“Mangsa menegur salah seorang suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk semasa mereka berada di dalam lif.

“Keluar dari lif berkenaan, suspek yang berang mengejar mangsa sebelum memukul mangsa sehingga tidak sedarkan diri,” jelasnya.

Katanya, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di sekitar Kota Damansara di sini pada Ahad.

Menurutnya, polis turut merampas baju-T warna hitam, sehelai seluar jean pendek warna kelabu, seutas tali pinggang dan sepasang kasut dipercayai dipakai suspek semasa kejadian.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kes terbabit bersama adik lelakinya yang berusia 24 tahun yang masih bebas,” katanya.

Fakhrudin berkata, suspek yang juga seorang penganggur direman enam hari bermula Ahad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Saksi kejadian atau yang mengetahui keberadaan seorang lagi suspek diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail di talian 0133587571,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply