(VIDEO) Peniaga Kedai Baju Hampir Dipukau Dua Individu | PETALING JAYA – Seorang lelaki nyaris dipukau dua individu tidak bertanggungjawab yang datang ke kedainya berpura-pura ingin membeli baju.

Menurut sebuah perkongsian yang dimuat naik Rezqiyusufco Warehouse di akaun TikTok miliknya berkata, individu berkenaan bukan pertama kali hadir ke kedainya.

“Bulan Mac hari itu dua ekor ni dah datang kedai kami. Cubaan nak pukau saya. Ini dia berani datang lagi,” katanya menerusi ruangan kapsyen.

Dalam video yang berdurasi 52 saat itu, peniaga terbabit yang menyedari kehadiran individu terbabit segera ke bahagian belakang untuk mengelak daripada berurusan dengan mereka berdua.

“Perhatikan, dia cuba nak perangkap ‘husband’ dekat tengah-tengah tu. Tapi ‘husband’ cepat-cepat lari ke belakang.

“Modus operandi dia sama. Buat-buat nak tanya pasal barang,” katanya.

Bagaimanapun dua individu terbabit dilihat segera keluar daripada kedai tersebut setelah menyedari peniaga tidak berseorangan di kedai.

Tambahnya, dia menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan tindakan dua individu berkenaan.

“Hati-hati semua, dua orang ni dah viral keliling satu Malaysia buat kerja pukau ni. Jangan bagi orang dekat dan sentuh awak semua,” katanya.

@rezqiyusufcowarehouse

Hati-hati semua. Tak kena tangkap lagi dua ekor ni 😠 #kespukau #pukau #viralmalaysia #beritaviral #pakarab #jenayah #fyp #kesviral

♬ Spooky, quiet, scary atmosphere piano songs – Skittlegirl Sound

Menjengah ke ruangan komen, ada segelintir orang ramai yang mendakwa turut pernah terkena dengan dua individu tersebut.

“Kak kedai dekat mana? Sebab gaya dia macam sama dengan orang yang pukau ibu saya pula,” kata Winter Meow.

“Baru hari itu datang dekat kedai mak aku tanya pasal duit. Katanya nak tengok duit RM50. Lepas itu kami kata sini ‘cashless’ lepastu tunjuk QR. Mereka terus pergi,” ujar Sya.

Perkongsian tersebut tular sehingga memperoleh lebih 100,000 tontonan dan 6,351 tanda suka.

Sumber: Kosmo

 

RM180 Lesap, Pekerja Dipukau Pelanggan | Seorang pekerja kedai pakaian dipercayai dipukau seorang wanita di sebuah kedai tudung dipercayai berlaku dekat Alor Setar, Kedah baru baru ini.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok @AmyHer.veils memaparkan pemukau memulakan taktiknya dengan mengambil sehelai tudung berharga RM20 sejurus sahaja masuk ke dalam kedai.

Katanya, ketika membuat pembayaran, pemukau itu menggunakan wang RM100 untuk membeli tudung yang berharga RM20.

“Bagi duit besar RM100 untuk membeli tudung RM20,” katanya di kapsyen.

Oleh kerana tidak mendapat diskaun, pemukau itu membatalkan pembelian tudung itu.

“Staf (pekerja wanita itu) sudah pegang duit baki dan kemudian diberikan kepada pemukau itu, tetapi tiba-tiba tak jadi beli dan terus minta duit RM100 itu balik.

“Dapat sahaja duit RM100 itu, terus pusing sorok duit dalam baju, buat-buat tengok tudung lain sedangkan duit baki RM80 telah diambilnya,” katanya.

Tambahnya, pemukau tersebut tiba-tiba ingin membeli semula dan mengambil balik baki yang diberi pada awal pembelian yang tidak jadi tadi.

Selepas itu, pemukau terbabit berlakon mahu membuat pembelian yang lain dan terus meninggalkan kedai dengan duit yang berjumlah RM180.

Menjengah ke ruangan komen, orang ramai berasa kesal dengan kejadian itu

“Saya pernah kena macam ini, tetapi dia datang berdua lelaki perempuan. Buat kalut, pening habis sampai kita hilang fokus. Hilang RM70,” kata Tka.

“Sebenarnya bukan hilang fokus kerana kedai tak ramai, dia sedang pukau, sebab itu staf bagi dalam keadaan senyum sebab memang tak ingat apa-apa,” komen EykaRadzi86.

“Iya, saya pun pernah kena, habis duit kertas RM100. Memang tidak sedar langsung, lepas dia pergi, baru tersedar,” luah CucurUdangPantai.

SUMBER: KOSMO

Share.

Leave A Reply