Seorang remaja perempuan terpaksa menahan sakit hampir tiga jam selepas tersangkut celah bongkah batu kerana kunci motosikal yang jatuh di celah batu di Pantai Matras, Sungailiat, Indonesia pada 5.30 petang kelmarin.

Memetik laporan Bangkapos.com, kejadian berlaku sewaktu mangsa, Bunga Febri Lestari,16, bersama rakannya ke pantai itu bagi melihat keindahan Pantai Matras di atas bongkah batu.

Secara tiba-tiba, kunci motosikal telah terjatuh di celah batu dan Bunga kemudian cuba mengambil kunci tersebut.

Bagaimanapun, salah satu kaki Bunga tersepit di lubang dalam batu lalu Bunga terjatuh sebelum tersangkut di dalam lubang dan tidak dapat keluar.

Melihat keadaan Bunga tidak boleh keluar dari lubang tersebut , rakan-rakannya kemudian meminta bantuan orang ramai.

Susulan itu, melihat kejadian tersebut, orang ramai yang berada di lokasi kejadian membantu Bunga untuk keluar, tetapi tidak berjaya.

Malah, menerusi rakaman klip video kejadian juga memaparkan saiz celahan lubang batu tersebut lebih kecil daripada badan Bunga.

Difahamkan, Bunga berjaya diselamatkan pada pukul 8 malam dengan bantuan orang ramai serta beberapa badan pasukan penyelamat

Menurut Ketua Pasukan Penyelamat Sekaban, M Achin, pihaknya terpaksa menggunakan jengkaut bagi mengeluarkan mangsa.

“Kami mengalami kesukaran untuk memindahkan mangsa, jadi kami terpaksa mengupah jengkaut untuk mengangkat batu,” katanya.

Sementara itu, anggota Bhabinkamtibmas, Bripka Atletico B berkata, Bunga mengalami kecederaan ringan dan keadaannya amat lemah ketika diselamatkan.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.

“Mangsa kini sudah selamat di kediamannya,” ujarnya.

Sumber : Utusan TV

 

 

Share.

Leave A Reply