Dua lelaki yang mempunyai 12 rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah harta-benda tidak serik melakukan kegiatan jenayah selepas ditangkap mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad, semalam.

(VIDEO) VIRAL Dua Lelaki Bawak Kabel TM, Rupa-Rupanya..

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek berusia 18 dan 26 tahun berjaya ditahan jam 9 malam selepas kegiatan mereka dikesan menerusi video tular berdurasi 24 saat di media sosial Facebook semalam.

“Video berkenaan menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru dipercayai membawa kabel yang dicuri.

“Polis telah menerima laporan dari Telekom Malaysia Berhad berhubung kejadian curi kabel yang berlaku di tepi Jalan Keranji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas ialah kabel yang dicuri kedua-dua suspek.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda.

“Kita mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kegiatan membabitkan kecurian kabel dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di Talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply