(VIDEO) Wanita Cemas Warga Asing Lompat Dihadapan Kereta Mahu Dilanggar | Seorang wanita berdepan detik cemas apabila seorang lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba melompat di hadapan kenderaannya dipercayai bagi mencetuskan kemalangan.
Menurut perkongsian video di Instagram wanita tersebut katanya, kejadian berlaku ketika dia sedang melalui kawasan di bulatan Kampung Pandan pada petang semalam.
Lelaki Itu Kejar Dan Panjat Kereta
“Pada mulanya saya memandu perlahan kerana sedang melihat aplikasi Waze, tiba di bulatan, lelaki ini tahan kereta dan mahu saya melanggar dia. Masa saya rakam video ini, sudah seminit juga dia tahan kenderaan saya.
“Saya undurkan kenderaan, tetapi dia kejar saya dan mula panjat kereta saya. Kereta banyak lalu-lalang tapi tiada siapa yang berhenti untuk membantu,” tulisnya.
Katanya, dia kemudian dibantu oleh seorang lelaki yang sedang menaiki basikal dan telah melihat kejadian itu dari awal.
Menerusi rakaman itu, dilihat lelaki terbabit cuba melawan, tetapi akhirnya berjaya diarahkan untuk turun dari kenderaan wanita berkenaan.
“Laporan polis sudah dibuat kerana bimbang jika ada yang mendakwa saya telah melanggar individu tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, wanita berkenaan juga memaklumkan dia tidak sempat berterima kasih kepada lelaki yang membantunya dan meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengenali individu terbabit.
Tonton Video Terbabit :
View this post on Instagram
Kejadian Tersebut Selalu Berlaku Di Luar Negara
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna bimbang dengan kejadian tersebut yang biasanya berlaku di luar negara.
“Takutnya tengok. Makin menjadi-jadi pula perangai warga asing, nasib baik ada yang membantu,” kata Nardyra.
“Dia nak adik ini jalan dan dia terjatuh jadi dia boleh tuduh adik ini langgar dia dan boleh minta ganti rugi. Terima kasih abang baju merah,” kata Bebe.
“Taktik macam ini dah selalu jadi dekat luar negara untuk tuntut ganti rugi. Risau pula dah berleluasa di Malaysia,” kata Anne.
Sehingga kini, video tersebut telah ditonton lebih 200,000 kali.
Sumber : Kosmo
Baca Juga Artikel Ini :
Bapa Terkejut Mangsa Kemalangan Anak Sendiri.
Bapa Terkejut Mangsa Kemalangan Anak Sendiri. | BERA – Seorang bapa tidak menyangka kemalangan yang dilihat ketika dalam perjalanan menghadiri satu majlis pengebumian, melibatkan anak lelakinya di Kilometer 36, Jalan Temerloh-Bahau, dekat persimpangan Sri Buntar, Triang di sini, semalam.
MOTOSIKAL BERLANGGAR LORI
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.39 pagi itu, Muhammad Faris Halimin Azlin, 22, maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori.
Ketika kejadian Muhammad Faris bersama ibu, bapa dan dua adiknya yang menaiki kereta dalam perjalanan dari Felda Kemasul untuk menghadiri pengebumian saudara di Pengkalan Manggis, Temerloh.
Menceritakan tentang kemalangan itu, ibu mangsa Zanariah Aziz, 47, berkata, setibanya di lokasi kemalangan, suaminya menjerit apabila terlihat motosikal anaknya di tengah jalan.
“Ya Allah! Itu motor anak aku.Itulah yang dikatakan suami membuat kami sekeluarga terkejut dan tidak menyangka insiden meragut nyawa itu melibatkan anak kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Shah (Hoshas) Temerloh di sini semalam.
SUAMI DAN ANAK PEREMPUAN BERGEGAS KE ARAH MANGSA
Serentak itu, katanya, suami dan anak perempuannya bergegas ke arah mangsa, namun pada ketika itu Muhammad Faris yang berlumuran darah akibat cedera parah di bahagian kepala sudah tidak sedar diri.
Katanya, atas faktor kesihatan, dia tidak dapat untuk turun dari kereta untuk melihat keadaan anak keduanya itu.
“Sebelum keluar dari rumah, Limi (Muhammad Faris Halimin) bersalaman dengan saya, malah sepanjang minggu lepas, dia belikan tiga biji kek sempena hari lahir abahnya, ibu saudara dan jiran sebelah rumah.
“Tiada perubahan ketara yang ditunjukkan arwah tetapi apa yang berlaku ini benar-benar membuatkan kami sekeluarga trauma, apa pun, saya reda,” ujarnya.
Dalam pada itu, rakan mangsa, Muhammad Haikal Danil Hazrul, 18, berkata, kali terakhir mereka berjumpa pada malam Jumaat lalu, namun Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan yang pelik.
“Kami borak macam biasa, dia tetap macam biasa dan kami berkongsi banyak perkara bersama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.39 pagi itu, lori dari arah Temerloh telah memasuki simpang kanan ke Triang itu tanpa memberi laluan kepada mangsa yang sedang menunggang motosikal sehingga menyebabkan pelanggaran.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hoshas untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber : Kosmo