“Allah! Allahuakbar! Saya tidak tinggal awak, yang. Allah, Itu bini saya bang. Allah.. Allah… Allah!”

VIRAL Video Menyayat Hati Suami Lihat Isteri Rentung Depan Mata

Jeritan menyayat hati itu datangnya daripada seorang lelaki yang terbabit dalam nahas ngeri di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, memaklumkan isterinya berada dalam kenderaan yang terbakar.

Rakaman video menyayat hati berdurasi satu minit 37 saat itu tular di media sosial Facebook, dengan kedengaran lelaki itu menyatakan tidak akan meninggalkan isterinya.

Lelaki terbabit bagaimanapun ditenangkan pengguna jalan raya lain dan dibawa ke kawasan lebih jauh berikutan api yang marak.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Mohd Fauzi Md Nor, memaklumkan dua mangsa maut manakala empat yang lain selamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan itu.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah lori Isuzu dan tiga kereta iaitu Proton Wira, Toyota Vios dan Proton Preve.

Katanya, wanita yang maut adalah penumpang Proton Wira yang dikenal pasti Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, dan ditemui tersepit serta rentung dalam kenderaan terbabit.

“Turut disahkan meninggal dunia ialah seorang mangsa yang menaiki Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya.

“Kita menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.47 malam dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang tiba mendapati kebakaran membabitkan sebuah lori jenis Isuzu, Proton Wira dan Toyota Vios.

“Lori berkenaan terbakar 70 peratus, Proton Wira dan Toyota Vios hangus 90 peratus. Sebuah kereta Proton Preve yang turut terbabit dalam kemalangan tidak terbakar.

“Seorang mangsa wanita di tempat duduk penumpang Proton Wira ditemui tersepit dan rentung manakala pemandu kereta sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, dua mangsa yang menaiki lori Isuzu dikenali sebagai S Suresh, 38, dan Mok You Jian, 22, serta pemandu Proton Preve, Bunayami Yahya, 43, tidak cedera.

Mohd Fauzi berkata, operasi memadam kebakaran masih dilakukan setakat tengah malam ini oleh 18 anggota dari BBP Renggam, Kulai dan Ayer Hitam.

https://twitter.com/Tfsgxy_/status/1581319981664391168?s=20&t=9s_EYjCTiWwSgfXV5o8v_g

Sumber : Berita Harian

Share.

Leave A Reply