Wanita Buat Laporan Palsu Menjadi Mangsa Samun | Seorang wanita ditahan kerana membuat laporan palsu menjadi mangsa samun, demi mengelak membayar denda untuk menggantikan kad pengenalan baharu.

Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, Ketua Polis Daerah Kuching, berkata penahanan wanita berusia 42 tahun itu dilakukan selepas polis mendapati, wujud keraguan dalam laporan yang dibuatnya pada kira-kira jam 12.42 petang, 6 Januari lalu.

Katanya, berdasarkan laporan yang dibuat suspek mendakwa, disamun dua lelaki dengan menggunakan pisau ketika berada di dalam kereta pada jam 6.50 petang, 5 Januari lalu di Tebingan Kuching.

Ahsmon berkata, akibat kejadian suspek turut mendakwa, mengalami kerugian sebanyak RM2,000 dan kehilangan dokumen penting iaitu kad pengenalan, kad bank serta telefon bimbit.

Ahsmon juga berkata, siasatan lanjut mendapati wujud keraguan dalam laporan polis yang dibuat.

Beliau berkata dalam kenyataan bahawa siasatan turut mendapati, suspek mengakui membuat laporan palsu dirinya disamun bagi mengelakkan daripada membayar denda untuk menggantikan kad pengenalan yang baharu memandangkan ini adalah kali kedua dia kehilangan kad pengenalan.

Susulan itu, Ahsmon berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya sepanjang tahun lepas, pihaknya merekodkan sebanyak 13 laporan palsu yang dibuat.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu.

Sumber: Berita Harian

 

Artikel Lain

Stres Bini Asyik Minta Duit, Lelaki Buat Laporan Palsu Disamun

PONTIAN – Gara-gara menghadapi masalah kewangan, seorang lelaki ditahan kerana membuat laporan palsu mendakwa disamun oleh dua lelaki di Jalan Parit Kassim, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pengadu yang berusia 30 tahun itu kemudian telah membuat laporan polis yang mendakwa telah diacukan senjata berupa pisau ke arah dirinya.

Katanya, selain itu pengadu mendakwa kedua-dua lelaki tersebut telah mengambil wang tunai sebanyak RM300 dan sebuah jam tangan jenama ‘G- Shock ‘.

“Hasil siasatan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Pontian, lelaki tersebut ditahan kerana didapati telah membuat satu laporan palsu.

“Pengadu telah mengalami masalah kewangan dan gagal mengikuti kehendak isterinya yang meminta duit serta gagal menunjukkan lokasi sebenar kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam tular di media sosial laporan polis yang dibuat oleh pengadu seorang penghantar makanan mendakwa telah ditahan oleh dua lelaki berbangsa India dengan menaiki motosikal Yamaha Lagenda berwarna kuning tanpa nombor pendaftaran.

Laporan polis tersebut mendakwa kejadian berlaku pada pukul 9.30 pagi ketika pengadu melalui Jalan Parit Kassim menuju ke destinasi yang tidak dinyatakan dari rumah kediamannya di Taman Sri Pinang, Jalan Parit Mesjid.

Pengadu menyebut salah seorang lelaki telah menarik jaket pengandu sehingga terkoyak dan memaksa pengadu mengeluarkan dompet dan seorang lagi telah mengeluarkan senjata berupa pisau.

Tambah Mohammad Shofee, pengadu akan disiasat dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman 6 bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply