Wanita Didakwa Polis Disyaki Dera Kanak-kanak Austisme | Seorang wanita yang juga merupakan seorang pengasuh dikhabarkan telah ditahan selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) autisme di sebuah pusat asuhan di Ampang, di sini baru-baru ini.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 1.50 tengah hari selepas pihak polis mendakwa telah menerima satu laporan daripada bapa kepada kanak-kanak berusia enam tahun berkenaan pada Jumaat lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak, mangsa dipercayai didera pada 1 Okt lepas antara 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari selepas bapanya mengambil anaknya, selain menemukan kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan di kedua-dua belah mata.
Tambahnya lagi, kejadian tersebut diketahui selepas salah seorang cikgu di pusat asuhan berkenaan memaklumkan kepada bapa kanak-kanak itu terdapat kesan kemerahan pada tepi dahi kiri mangsa dan mendakwa mangsa menghantukkan kepala di meja atas alasan tidak mahu makan.
Jelasnya, bapa mangsa kemudian bertindak melihat rakaman kamera litar tertutup tempat kejadian selain mendapati suspek bertindak kasar apabila mangsa mengelak untuk makan menurut laporan Bernama.
Mohamad Farouk berkata hasil siasatan mendapati wanita warga asing berumur 51 tahun itu merupakan pengurus di premis berkenaan turut menggajikan tiga pekerja warga tempatan yang juga berada di tempat kejadian.
Wanita tersebut dilaporkan mempunyai tujuh pelajar termasuk mangsa yang kesemuanya OKU autisme. Hasil siasatan lanjut juga mendapati pusat asuhan dikendalikan suspek telah beroperasi selama tujuh tahun dan semakan awal mendapati status lesen dimilikinya telah tamat tempoh.
Beliau berkata pas lawatan wanita itu disyaki telah tamat tempoh dan dia direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak serta Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan pas sosial tamat tempoh.
Sumber: Bernama