Seorang wanita maut selepas dilanggar dan diseret sejauh 90 meter oleh seorang pemandu lelaki di jalan raya dekat Universiti Dhaka (DU), Bangladesh pada Jumaat.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka, Md Shahidullah berkata, kes tersebut bukan satu kemalangan, sebaliknya beliau mengesahkan bahawa kejadian itu merupakan kes pembunuhan yang disengajakan.

“Mangsa, Rubina Akhter, dilanggar pemandu terbabit dan tersepit di bawah kenderaan itu.

“Suspek yang merupakan bekas tenaga pengajar di fakulti DU, terus mengheret mangsa sehingga ke kawasan Neelkhet di Dhaka dan abang ipar mangsa yang menunggang motosikal turut tercedera dalam kejadian tersebut.

“Orang ramai cuba menghentikan kereta berkenaan sebaik menyedari kewujudan mayat dan kesan lumuran darah di sepanjang jalan raya, namun pemandu terbabit masih berdegil dan meneruskan perjalanan,” katanya.

Ketika disoal sama ada pemandu itu mabuk ataupun tidak, pihak polis tidak dapat mengesahkannya kerana suspek telah dibawa ke hospital akibat cedera parah dipukul orang awam.

“Tindakan undang-undang akan diambil selepas siasatan, tanpa mengira sama ada bekas guru itu berada dalam keadaan normal ataupun tidak,” tambahnya.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Kolej Perubatan Dhaka (DMCH) kira-kira pukul 4:45 petang.

Ketika kejadian, salah seorang saksi berkata, mangsa tersepit di bawah kenderaan tersebut dan kesan darah di sepanjang jalan menyebabkan orang ramai mula sedar akan kejadian terbabit.

Setibanya di Neelkhet, kereta itu ditahan dan suspek dipukul orang ramai manakala mangsa pula berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

Berdasarkan rekod, suspek yang dikenali sebagai Azhar, dibuang daripada universiti berkenaan pada 2018 kerana tidak hadir ke kelas bagi tempoh yang lama.

Sumber: Majoriti

 

Baca Juga: Pelajar Tingkatan Lima M4ut Diseret Kereta

Seorang pelajar Tingkatan Lima maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 7.9 Jalan Machang – Pasir Puteh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa Muhammad Nasrie Ghazali, 17, yang juga pembonceng motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Volkswagen Polo Sedan yang dipandu suri rumah berusia 51 tahun datang dari arah Pasir Puteh untuk membeli sarapan di sebuah kedai berhampiran

“Setibanya di lokasi kejadian, wanita itu sudah memberikan isyarat lampu ke kiri untuk memberhentikan kenderaan di bahu jalan, namun tiba-tiba motosikal Modenas Kriss yang dibonceng mangsa merempuh belakang kenderaan itu.

“Akibat rempuhan itu, motosikal itu terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah lagi kereta Proton Saga FL dipandu lelaki berusia 55 tahun yang datang dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohd Zahir berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di tengah jalan manakala mangsa yang juga pembonceng terjatuh di hadapan kereta Proton Saga FL dan diseret ke bahu kiri jalan sejauh lebih kurang 20 meter.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan di hantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

“Rakan mangsa yang mengalami patah tangan sebelah kiri dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, manakala dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, punca kemalangan berlaku dipercayai disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaannya sehingga menyebabkan kemalangan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Sumber: KMN

 

Share.

Leave A Reply