Wanita Ditahan Memandu Secara Berbahaya Dalam Cubaan Lari Dari Polis | KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditahan selepas memandu kereta secara berbahaya bagi melarikan diri daripada polis dalam satu kejadian di Bandar Baru Bangi, Kajang dekat sini semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, wanita berusia 26 tahun itu bersama seorang penumpang lelaki berusia 38 tahun berjaya ditahan di Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi dengan bantuan beberapa kenderaan peronda polis.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan telah membawa kepada penemuan hablur kristal dianggarkan seberat 2.1 gram dipercayai dadah jenis syabu.

“Ujian air kencing terhadap pemandu dan penumpang kereta berkenaan mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine, selain kedua-dua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata insiden yang tular di sosial media itu bermula selepas suspek bertindak memecut kenderaan dipandunya sebaik diarahkan berhenti oleh pasukan peronda polis setelah dikesan mencurigakan di Jalan Kajang Utama.

Menurutnya suspek yang memandu secara berbahaya ketika cubaan melarikan diri itu turut merempuh palang tol di Plaza Tol Sungai Ramal dan mengakibatkan beberapa kenderaan awam dan sebuah kereta peronda rosak.

Menurut Mohd Zaid kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga 24 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(3) / 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: AWANI

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Lelaki Didenda RM 3,000 Lepas Lari Dari Polis

Seorang lelaki yang ditahan kerana melarikan diri bersama kekasihnya sejauh lebih 70 kilometer sebelum ditahan polis sebelum ini didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini.

Lelaki Didenda RM 3,000 Lepas Lari Dari Polis

Majistret, Hidayatul Syuhada Samsuddin turut memerintahkan agar tertuduh yang mengaku bersalah dikenakan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya beliau gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Danish Izzuddin Mohd Sharpie, 20, didakwa menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugas.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ahmad Rofaif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semalam, media melaporkan tertuduh ditahan bersama kekasihnya iaitu seorang wanita berusia 18 tahun selepas terbabit dengan insiden mengejar sejauh lebih 70 kilometer.

Video kejadian berkenaan yang berdurasi 1 minit 15 saat tular di media sosial sehingga mendapat perhatian ramai.

Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 11.30 malam kelmarin.

Ketika kejadian, anggota sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan rekreasi Adda Height, Johor Bahru sebelum mendapati sebuah kereta Proton Persona diletakkan dalam keadaan mencurigakan.

Ketika polis mahu melakukan pemeriksaan, suspek tidak memberi kerjasama dengan bertindak mengundurkan kenderaan dan merempuh kereta peronda polis, sebelum bertindak cuba melarikan diri.

Tindakan suspek melarikan diri dikejar sehingga 10 buah kenderaan peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan juga Johor Bahru Utara.

Mereka berjaya ditahan di kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan sekitar Ayer Hitam selepas cuba melarikan diri.

Hasil semakan rekod lampau juga mendapati pasangan kekasih itu tiada rekod jenayah lampau atau kes berkaitan dadah sebaliknya mereka dipercayai melarikan diri selepas terkejut dihampiri kereta peronda.

Sumber: HM

Share.

Leave A Reply