Wanita Iringi Suami Ke Majlis Perkahwinan Kedua

| December 21, 2020 | 0 Comments

Wanita Iringi Suami Ke Majlis Perkahwinan Kedua | Jakarta – Seorang wanita yang mengiringi suami sendiri selaku pengantin baharu ke satu majlis perkahwinan di Indonesia menarik perhatian ramai netizen, lapor portal berita Suaraindo.id hari ini.

Aksi itu diketahui ramai apabila sekeping gambar tular menunjukkan isteri pertama berdiri di sebelah suami bersama madunya. Turut kelihatan ialah tiga remaja dipercayai ahli keluarga lelaki berkenaan.

Suarindo.id mengesahkan bahawa gambar itu adalah tulen dan menemu bual pengantin lelaki, Urip Pratikno berumur 37 tahun dan isteri pertamanya, Siti Aminatun, 29.

Urip dilaporkan berkahwin kali kedua dengan gadis remaja bernama Astrid, 17, dari Nanga Mahap, Kabupaten Sekadau, Kalimantan Barat pada 21 Oktober lalu.

Lelaki itu menyatakan dia berasa amat gembira dan mengesahkan isteri pertama tidak membantah hasratnya untuk berkahwin lain.

“Alhamdulillah, isteri pertama tiada bantahan dan membenarkan saya untuk kahwin semula. Dia kini masih di sisi saya.

“Isteri pertama juga sudi mengiringi saya ke perkahwinan kedua kerana saya sebenarnya ada menceritakan niat mahu beristeri dua semasa kami mula-mula bercinta,” kata Urip dalam satu temu bual malam semalam.

Semasa ditanya mengenai proses dan permohonan untuk kahwin kali kedua daripada isteri pertama, dia mengakui ia mengambil masa yang agak lama.

“Ia suatu proses yang amat lama untuk memujuk dan menyakinkan isteri pertama untuk membenarkannya.

“Tetapi melalui satu pendekatan hati ke hati yang juga mengambil masa, akhirnya isteri pertama, Siti Aminatun membenarkan saya kahwini Astrid, 17,” katanya.

Urip ialah seorang usahawan kedai runcit.

Siti berkata, dia membenarkan suami berkahwin lain kerana amat mencintainya.

“Saya membenarkan kerana amat mencintai suami. Saya sebenarnya tidak berasa cemburu kerana sudah lama mengenali dengan wanita ini.

“Sebab saya tahu Astrid ini baik orangnya dan benarkan suami untuk mengahwininya.

“Kami sebenarnya tinggal serumah dengan Astrid untuk satu tempoh lama kerana Astrid bekerja di kedai runcit kami, sebab itu saya kenalinya dan seperti anak sendiri,” kata Siti.

Selepas mereka berkahwin, Urip tinggal serumah bersama kedua-dua isteri dan anak-anak di Semuntai, Mukok, Kabupaten Sanggau, Kalimantan Barat di Indonesia.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , ,

Category: KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *