Wanita maut manakala suaminya parah dalam nahas tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral, di sini, semalam.

Wanita Maut Kemalangan, Hajat Ingin Tunai Umrah Tidak Kesampaian

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari, mangsa, Adawiyah Zakaria, 41, disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas dua jam dirawat di zon merah manakala suaminya, Looy Mohammad Brah, 34, dilaporkan kritikal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa yang berniaga makanan di Medan Selera Limbongan menghala ke Malim dari arah sebuah pasar raya.

Katanya, mereka yang menaiki motosikal Modenas GT 128 difahamkan dalam perjalanan menguruskan beberapa dokumen untuk mengerjakan umrah.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai terlanggar belakang kereta Mazda CX-5 dipandu kerani berusia 47 tahun yang bergerak dari arah sama.

“Akibatnya penunggang dan pembonceng masing-masing tercampak di tengah dan kanan jalan tiga lorong berkenaan.

“Pada masa sama, sebuah lagi kereta Proton Wira Aeroback dipandu warga emas berusia 61 tahun tidak sempat mengelak lalu menggilis lelaki itu menyebabkan mangsa terperosok di bawah kereta,” katanya dihubungi di sini hari ini.

Hasan Basri berkata, kedua-dua mangsa yang parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Kedua-dua mangsa dirawat di zon merah sebelum isterinya disahkan meninggal dunia pada 3.50 petang.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber : HM 

Share.

Leave A Reply