Wanita Menggoda dan Mengumpul Bukti Tentang Pembvnuh Suaminya | Dendam terhadap dalang penjenayah yang mengakibatkan kematian suaminya membuatkan seorang wanita Colombia sanggup menghabiskan masa bertahun-tahun menggoda dan mengumpul bukti untuk membawa penjenayah itu ke muka pengadilan.

Kedengaran seperti filem Hollywood, namun wanita itu berjaya melakukan apa yang pihak berkuasa tidak dapat lakukan, lapor OddityCentral.

Wanita yang tidak dinamakan itu dipuji sebagai wira oleh polis dan wartawan di Cordoba, Colombia, selepas menghabiskan masa bertahun-tahun bersama penjenayah licik dan mengumpul bukti yang mencukupi untuk mendakwa suspek.

Suspek dikenali Ruben Dario Viloria Barrios didakwa menyamar sebagai usahawan yang dihormati di bandar Cienaga de Oro.

Di sebalik tabir, dia adalah ‘Juancho’, seorang dalang penjenayah yang mendalangi penyeludupan dadah dan senjata api ke Amerika Tengah serta Amerika Syarikat selain mengarahkan percubaan pembunuhan terhadap saingan dan bekas rakan sekerja.

Berikutan penyamarannya dan tidak terbabit secara aktif dalam aktiviti jenayah, Juancho dapat menghalang pihak berkuasa mengesannya.

Selepas suami kepada wanita itu mati dipukul dengan arahan suspek atas sebab tidak didedahkan kepada umum, wanita itu dilaporkan mula mendekati Juancho dan akhirnya membuatkan lelaki itu jatuh cinta kepadanya.

Suspek akhirnya semakin mempercayai wanita itu sehingga dia berkongsi maklumat mengenai urusan jenayahnya, yang kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa.

Polis mengesyaki aktiviti suspek itu sejak 2020 tetapi tanpa bukti yang cukup untuk mensabitkannya, mereka tidak dapat bertindak.

Menerusi maklumat diberikan wanita terbabit pihak berkuasa yakin untuk mendakwa suspek.

Juancho yang ditahan menerusi Operasi Corona oleh Gerakan Khas Polis Negara ketika menghadiri pertemuan dengan penjenayah lain di Monteria, kini berdepan penjara puluhan tahun.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

Lelaki Dipenjara 22 Minggu Pasang ‘Spy App’, Intip Isteri Di Media Sosial

SINGAPURA – Seorang lelaki secara rahsia telah memasang aplikasi pengintipan pada telefon isterinya selepas mereka sering bertengkar.

godam

Dia dikatakan berbuat sedemikian untuk memantau aktiviti isterinya di media sosial, termasuk rekod panggilan dan mesej.

Menerusi laporan portal berita Channel NewsAsia, lelaki itu, Nicholas Wang Weichou, 30, menggunakan aplikasi itu untuk menggodam akaun media sosial isterinya dan menghantar mesej ancaman selepas berbuat demikian.

Warga Singapura itu akhirnya dijatuhkan hukuman penjara 22 minggu pada Selasa (5 April), seperti yang didesak pihak pendakwa raya.

Dia mengaku bersalah atas satu dakwaan pengintipan yang melanggar undang-undang dan dua lagi dakwaan di bawah Akta Pinjaman Wang.

Lima lagi dakwaan sedang menunggu perbicaraan.

Mahkamah diberitahu hubungan Nicholas dan isterinya yang berusia 33 tahun itu dilanda masalah pada Ogos 2020, selepas dua tahun pasangan itu berkahwin.

Ketika itu, Nicholas menemui sebuah aplikasi ketika mencari maklumat tentang perisian penggodaman.

Dia membeli aplikasi itu dengan membayar yuran bulanan sebanyak S$108, dan menggunakannya selama dua bulan.

Secara diam-diam, dia memasang aplikasi itu pada telefon isterinya ketika mangsa sedang tidur dan mula memantau aktiviti sejak Ogos 2020.

Aplikasi itu membolehkan Nicholas mengakses semua mesej media sosial, rakaman suara dan rekod panggilan.

Dia juga boleh mendengar apa saja yang dibualkan isterinya secara langsung, dan boleh menghidupkan kamera telefon untuk memeriksa isterinya.

Perbuatan lelaki itu akhirnya disedari apabila isterinya hilang pemilikan kepada semua akaun media sosial kerana kata laluan sudah diubah.

Usaha untuk mendapatkan kembali akaunnya tidak berhasil lalu dia membuat laporan polis yang menyebabkan ‘rahsia’ suaminya terbongkar.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply