Pertandingan tarik tali anjuran persatuan alumni sebuah universiti berakhir dengan tragedi selepas salah seorang peserta wanita maut akibat kepalanya terhentak pada pembahagi jalan konkrit.

Dalam kejadian pada Ahad, tali yang digunakan dalam acara anjuran Ikatan Alumni Universiti Hasanuddin (Ika Unhas), Makassar, Indonesia itu terputus ketika ditarik.

Salah seorang peserta, Muh Fahmi Erwin berkata, tali sepanjang 1.54 meter yang terbentang dari Jalan Ratulangi hingga Jalan Jendral Sudirman secara tiba-tiba terputus.

Menurut Erwin, kejadian bermula ketika para peserta daripada dua kumpulan sedang menunggu isyarat untuk memulakan pertandingan tarik tali.

“Di lokasi, para peserta ada sebahagian peserta menunggu isyarat pertandingan manakala sebahagian duduk berteduh kerana acara lambat dimulakan.

“Ketika itulah tiba-tiba tali itu ditarik kuat hingga putus menyebabkan ketua kumpulan saya terpelanting sebelum rebah di atas jalan dengan kepalanya berdarah akibat terhentak pembahagi konkrit,” katanya.

Mangsa dikenali sebagai Masyita dan merupakan Ketua Rukun Tetangga Keluharan Ballaparang, Makassar.

Sementara itu, Jawatankuasa Ika Unhas, Mursalin berkata, tiada unsur kesengajaan dalam kejadian malang itu.

Menurutnya, mangsa tiba-tiba tertarik apabila tali yang direntangkan itu direntap secara kuat.

Ketika itu, katanya, mangsa sedang berswafoto dengan orang sekeliling sambil memegang tali berkenaan.

“Dia tengah selfie dengan para peserta wanita lain, pegang tali sambil selfie jadi sebelah tangan pegang tali macam tu.

“Tiba-tiba tali tertarik dan mereka jatuh serta terseret ke atas jalan. Jadi tidak ada unsur kesengajaan,” katanya seperti dilaporkan TribunMakassar.com.

Ketua Polis Daerah Ujung Pandang, Komisaris Syarifuddin menegaskan pertandingan tarik tali tidak mempunyai permit untuk beroperasi.

“Sebenarnya kami tidak tahu mengenai acara ini kerana tiada makluman kepada polis.

“Jadi polis tidak turut serta dalam mengawasi acara tersebut,” katanya.

Selain menyebabkan seorang maut, insiden tersebut turut mengakibatkan 11 peserta cedera. Pertandingan itu disertai 5,000 peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Sumber: Majoriti

 

 

Baca Juga: Suami Maut Terjatuh Dan Kepala Terhentak Batu Nisan Kubur Isteri | Seorang lelaki di Gampengrejo dalam wilayah Jawa Timur ditemui meninggal dunia di tepi kubur isterinya selepas dipercayai terjatuh dan kepala terhentak pada batu nisan, lapor laman BeritaJatim, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gamperejo, Asisten Komisioner Sunaryo berkata, hasil pemeriksaan Pasukan Pengecam Polis Kediri dan doktor pusat kesihatan setempat mendapati, tiada kesan penderaan pada tubuh mangsa yang dikenali sebagai Sugeng Prawoto.

“Tiada kesan penyeksaan pada badan mangsa. Daripada maklumat keluarganya, mangsa mempunyai sejarah sakit tua,” kata Sunaryo.

Tambah Sunaryo, pada hari kejadian, mangsa bersama cucunya menziarahi kubur isterinya yang baru meninggal dunia.

Setibanya di lokasi, mangsa melihat kubur isterinya berlubang seperti ada cubaan pencerobohan. Mangsa kemudian mengambil inisiatif mencari tanah untuk membaiki semula kubur isterinya.

“Apabila mangsa sedang menabur tanah untuk menimbus kubur isterinya dalam keadaan mencangkung, mangsa tergelincir lalu terjatuh dan kepalanya terkena pada batu nisan kubur isterinya,” jelas Sunaryo.

Sementara itu, keluarga mangsa reda dengan apa yang berlaku ke atas kedua ibu bapa mereka dan menganggap ia satu insiden yang menyedihkan.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply