Wanita Warga Asing Didakwa Sembunyi Mayat Bayi | Seorang wanita warganegara Nepal ini dilaporkan  gagal menyembunyikan perbuatan sebenarnya selepas berjaya ditangkap kerana cuba menyembunyikan kelahiran bayinya berusia dua hari yang ditemukan mati di asrama pekerja asing di sebuah kilang di sini, baru-baru ini.

Wanita Warga Asing Didakwa Sembunyi Mayat Bayi

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu, pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.10 pagi semalam daripada pekerja kilang tersebut, sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Jelasnya, setibanya mereka tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan.

Siasatan awal pihak polis juga mendapati suspek berusia 28 tahun itu telah meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang pada Isnin lepas (20 Sept) sekitar 1.30 pagi atas alasan sakit kaki.

Setelah dibawa ke sna, pihak klinik telah mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran lalu bertindak merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah, sebelum kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka.

Susulan daripada itu, suspek telah ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini dilaporkan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu telah dibawa ke bahagian Forensik hospital itu untuk dibedah siasat.

Kes dikatakan telah disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan.

Sumber: Bernama

Share.

Leave A Reply