Wanita Warga Asing Ditahan Guna Borang Rentas Negeri Palsu | Kebenaran merentas negeri buat masa ini masih tidak dibenarkan berikutan kes positif covid-19 yang semakin meningkat. Hal ini menyebabkan banyak orang awam bertindak menggunakan pelbagai cara untuk merentas negeri dengan beberapa alasan.
Perkara sama turut terjadi kepada seorang wanita ini apabila ia cuba untuk merentas negeri menggunakan borang rentans negeri yang palsu namun perbuatan itu hanya membawa padah apabila taktik itu tidak berjaya.
Bentong: Taktik seorang wanita warga asing yang menggunakan borang rentas negeri individu lain yang dipalsukan mengundang padah apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) Tol Bentong di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, wanita yang berusia 38 tahun itu ditahan ketika pihak polis sedang membuat pemeriksaan terhadap 16 individu dalam sebuah bas ekspres yang menghala ke Kuantan kira-kira pukul 11.30 tengah hari.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit mendapatkan borang kebenaran rentas negeri itu daripada salah seorang rakannya.
Katanya, hasil temubual, suspek memperolehi borang tersebut daripada seorang rakannya bernama Lam dan telah ‘scan’ borang rentas negeri yang pertama seterusnya menggunakan borang yang disalin untuk kegunaan kali kedua.
Tambahnya, berdasarkan rekod daripada balai polis yang mengeluarkan borang tersebut mendapati tiada nombor siri seperti yang dinyatakan dalam borang rentas negeri tersebut.
Dalam pada itu, suspek akan ditahan reman selama empat hari dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Katanya, jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM 4,000 bagi kesalahan individu manakala denda sebanyak RM 20,000 untuk kesalahan melibatkan perbadanan atau syarikat.
Sementara itu, Zaiham berkata, polis akan mengetatkan pemeriksaan di semua jalan SJR antara negeri dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melanggar peraturan yang ditetapkan.
Tambahnya, polis mengigatkan orang ramai yang ingin membuat perjalanan merentas negeri agar tidak mengambil tindakan dengan menggunakan borang rentas negeri yang telah diubah suai dengan niat memalsukan dokumen terbabit.
Sumber: Kosmo