Warga Asing Beli Surat Rentas Negeri Palsu RM 200

| May 10, 2021 | 0 Comments

Warga Asing Beli Surat Rentas Negeri Palsu RM 200 | Dua lelaki warga asing kantoi apabila didapati menggunakan dokumen rentas negeri palsu yang dibeli dengan harga RM200 ketika diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan di sini, semalam.

Warga Asing Beli Surat Rentas Negeri Palsu RM 200

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada mulanya menahan sebuah bas ekspres dari Pulau Pinang yang menuju ke Kuantan pada 1.30 tengah hari.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati dua orang warga asing berusia 24 dan 27 tahun dalam keadaan mencurigakan  dan setelah melakukan pemeriksaan lanjut mendapati mereka menggunakan dokumen rentas negeri yang meragukan.

Katanya, pihaknya kemudian menghubungi  balai polis yang mengeluarkan dokumen rentas negeri berkenaan sebelum mereka menafikan ada mengeluarkan dokumen seperti yang ditunjukkan warga asing terbabit.

Hasil siasatan kemudian mendapati dokumen yang diguna warga asing berkenaan adalah salinan dan warga asing terbabit mengaku ia diperolehi daripada seorang rakannya bernama Mezan dengan bayaran RM200 setiap satu.

Tambahnya, kedua-dua suspek juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Zaiham berkata, kes berkenaan mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, empat penumpang berusia sekitar 21 hingga 37 tahun yang menghala ke pantai timur dikompaun kerana tidak mempunyai surat rentas negeri.

Menurutnya, kesemua penumpang itu dikompaun mengikut Peraturan 25 (A) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000.

Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak mengetatkan pemeriksaan di semua SJR antara negeri di daerah itu yang membabitkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Sumber: Metro

Tags: , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *