Warga Emas Buka Kedai Runcit Tapi Ada ‘Agenda’ Lain.. | JOHOR BAHRU: Operasi sebuah kedai runcit secara kecil-kecilan di Taman Daya, di sini dijadikan taktik seorang peniaga warga emas bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjual arak tidak bercukai.

Taktik licik lelaki berusia 60 tahun sejak empat bulan lalu itu bagaimanapun terbongkar selepas kedainya diserbu polis pada pukul 12.15 tengah malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemeriksaan yang dijalankan menemukan 1,004 botol arak dan 1,274 karton arak pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM1.1 juta.

“Kedudukan stor tak sampai 100 meter di belakang kedai itu dijadikan tempat simpanan arak seludup yang hanya dijual kepada pelanggan tetap bagi mengelakkan perbuatan terbongkar. Lelaki terbabit mengaut untung dua kali ganda apabila menjual arak seludup pada harga biasa,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, di sini hari ini.

Selain peniaga itu, seorang pembantu kedai warga asing berusia 30 tahun yang menyalahgunakan dokumen perjalanannya turut ditahan dan kini kedua-duanya direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman memberitahu, pihaknya turut menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi, iaitu minyak diesel dan rokok seludup dalam tiga serbuan di Kulai, Iskandar Puteri dan Batu Pahat.

Dalam operasi yang dijalankan antara 28 Julai lalu hingga awal pagi tadi, polis menahan 15 individu termasuk seorang wanita yang kesemuanya berusia antara 28 hingga 53 tahun.

“Semakan rekod ke atas kesemua suspek mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas 117,600 liter minyak diesel bernilai RM191,240, 15 lori, sebuah lori tangki, 18 tangki minyak, enam pam minyak dan hos dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM1.5 juta

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 35(1)(c) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

SUMBER : Utusan

Share.

Leave A Reply