Warga Emas Dipercayai Mabuk Rempuh Kereta Parkir Tepi Jalan | Satu kejadian melibatkan pemandu warga emas merempuh beberapa buah kereta yang diparkir tepi jalan menjadi tular. Baca selanjutnya..

Kuala Lumpur – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kemalangan yang tular melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Sri Permaisuri, Cheras di sini semalam.

Kejadian didakwa berlaku selepas sebuah kereta jenis Honda CRV yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan merempuh empat buah kenderaan yang diparkir di tepi jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian berlaku pada pukul 7 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit memandu dari arah Cheras menghala ke Petaling Jaya sebelum melanggar kenderaan yang diparkir di tepi jalan sebelah kiri.

“Pemandu dan semua pemilik kenderaan telah membuat laporan polis dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sarifudin memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesahkan sama ada wujudnya unsur-unsur mabuk atau lain-lain yang menyebabkan kemalangan seperti yang didakwa di media sosial Facebook.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-20719999, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial Facebook memaparkan beberapa keping gambar yang mendakwa seorang lelaki memandu kereta dalam keadaan mabuk dan telah merempuh beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply