GUA MUSANG: Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh pacuan empat roda di Jalan Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang, pagi kelmarin.
Mangsa, M Noor Awang, 67, yang merupakan peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Jeram Tekoh, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jeram Tekoh.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.10 pagi itu berpunca dari pemandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm, gagal mengawal kenderaan lalu memasuki laluan bertentangan.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa memandu dari Kampung Jeram Tekoh menuju ke Kampung Baru Jeram Tekoh.
“Ketika tiba di tempat kejadian, pemandu pacuan empat roda yang berumur 41 tahun hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar mangsa.
“Mangsa diseret sejauh 7.3 meter hingga merempuh sebuah rumah di sebelah kanan jalan.
“Mangsa dibawa ke klinik untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 11.50 pagi. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya.
Tambah Choon Foo, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kehilangan darah ekoran kecederaan parah akibat rempuhan itu.
“Hasil saringan air kencing terhadap pemandu pacuan empat roda mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau.
“Suspek ditahan dibawah Sek. 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dibawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Sumber : BuletinTv3
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Dua Orang M4ut Dalam Nahas Van Bertembung Treler
Dua maut dalam kemalangan selepas van yang dinaiki mereka bertembung dengan treler.
Dalam kejadian di Kampung Batang Merbau di sini, jam 7.30 malam tadi, mangsa, Muhamad Isyhad Ismi, 20, dan Nur Farah Nabilah Che Hasan, 23, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata van yang dipandu Muhamadd Isyhad dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu dipercayai ingin memotong kenderaan lain sebelum berlanggar dengan treler yang datang dari arah bertentangan sehingga menyebabkan kenderaan berat itu terbalik di atas jalan.
“Pemandu dan penumpang van tersepit dalam kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan serta kepala dan dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber : KMN