Warga Emas R@gol Dua Cucu Tiri Umur 7 & 6 Tahun Dipenjara 10 Tahun | KUALA TERENGGANU – Perbuatan serakah seorang lelaki warga emas memperkosa dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya pada tahun lalu berbalas apabila dia dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Nooriah Osman turut memerintahkan hukuman 10 sebatan terhadap tertuduh berusia 68 tahun berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berumur tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini antara pukul 2 petang sehingga 7 malam, Oktober tahun lalu.
Bagi kesalahan tersebut, lelaki warga emas berkenaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adiknya yang berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Tertuduh dikenakan hukuman penjara empat dan dua tahun serta dua sebatan bagi setiap kesalahan tersebut mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Hakim Nooriah kemudiannya mengarahkan hukuman penjara serentak bagi tuduhan pertama dan kedua manakala hukuman penjara ketiga bermula sejurus tertuduh selesai menjalani hukuman pertama dan kedua.
Selain itu, datuk tiri durjana itu turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama setahun mengikut Seksyen 27
Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd. Asaari Salleh.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Doktor Dijel Kerana R@gol Gadis | Tiga doktor di Guinea pada Selasa, didapati bersalah atas kematian seorang gadis yang dirogol di hospital dalam kes mengejutkan negara, lapor wartawan AFP.
Mahkamah Jenayah di pinggir bandar Conakry itu mendapati Daniel Lamah, Patrice Lamah dan Celestin Millimouno bersalah atas tuduhan menyerang, menyebabkan kematian tanpa niat serta pengguguran.
Millimouno dan Patrice turut disabitkan dengan kesalahan merogol.
Patrice dan Daniel masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun, manakala Millimouno yang masih bebas dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.
Mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh itu.
Sementara itu, seorang lagi doktor Sebory Cisse disabitkan kesalahan menyebabkan risiko kepada orang lain.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama setahun, kata wartawan AFP.
Bagaimanapun, empat pertuduhan menggunakan bahan berbahaya yang dihadapi tertuduh digugurkan.
Kerajaan dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, M’Mah Sylla, 25, meninggal dunia pada 2021 di Tunisia, yang mana mangsa dipindahkan untuk rawatan, selepas dirogol di hospital di Guinea.
Kematian Sylla menimbulkan kekecohan di media sosial dan membawa kepada petisyen dalam talian serta penggunaan slogan ‘Keadilan untuk M’Mah Sylla’.
Sumber: Harian Metro