Warga Emas Rugi RM5,000, Disamun Ketika Sidai Pakaian | Seorang wanita warga emas cedera di pergelangan tangan dan kerugian RM5,000 apabila barang kemasnya dilarikan dua suspek bersenjatakan parang di hadapan pagar rumahnya di Taman Tuanku Jaafar, Seremban, Jumaat lalu.

Kejadian tersebut turut tular dalam media sosial Facebook dengan gambar kedua-dua suspek menaiki motosikal yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dikongsikan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, mangsa seorang wanita berusia 68 tahun yang sedang menjemur kain di hadapan pagar rumah telah didatangi dua suspek lelaki yang menaiki motosikal jenis Kawasaki RR berwarna biru.

“Salah seorang suspek turun daripada motosikal dengan membawa sebilah parang, lalu mengacukan parang tersebut ke arah mangsa.

“Suspek telah memaksa mangsa menanggalkan cincin dan gelang tangan emas yang dipakai pada tangan kirinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nanda, mangsa yang takut lalu terus menanggalkan cincin emasnya dan disebabkan gelang tangan emas sukar ditanggalkan, suspek bertindak merentap gelang tangan itu.

“Selepas itu, suspek terus beredar. Mangsa tidak menjerit meminta bantuan kerana terlalu takut dan tiada jiran yang nampak kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata, mangsa telah mengalami calar kecil pada pergelangan kiri akibat gelang tangan emasnya yang direntap.

Nanda berkata, anggaran kerugian yang dialami mangsa lebih kurang RM5,000.

Jelas beliau, tempat kejadian adalah kawasan perumahan teres setingkat di mana kejadian berlaku di hadapan pagar rumah mangsa.

“Terdapat CCTV di rumah jiran sebelah. Hasil semakan rakaman CCTV mendapati suspek berbadan kurus, memakai topi keledar warna gelap dan pelitup muka.

“Mangsa tinggal bersama suami, seorang anak perempuan, seorang menantu dan tiga orang cucu. Namun, semasa kejadian berlaku hanya mangsa seorang berada di rumah,” katanya.

Tambah beliau, polis kini masih giat memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun bersenjata.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply