Ya Allah. Mangsa Culik Dibunoh Walau Tebusan Telahpun Dibayar | Kejadian di Kajang. Seorang lelaki yang dipercayai mangsa culik dibunoh kejam walau wang tebusan telah pun dibayar. Baca selanjutnya.

DIPERAS UGUT BAYAR RM22,000

Lelaki Bangladesh ditemukan mati dalam keadaan mayat separuh reput dengan tangan dan muka diikat pita pelekat serta kain sarung selepas dibunuh rakan senegara yang memeras ugut keluarganya membayar 500,000 taka Bangladesh (kira-kira RM22,000).

Pembunuhan mangsa berusia 39 tahun terbongkar selepas polis menahan empat lelaki Bangladesh di kawasan Beranang dan Semenyih bermula kelmarin hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan daripada lelaki Bangladesh yang menyatakan pada 25 September lalu anak saudaranya keluar rumah dan tidak dapat dihubungi.

Menurutnya, pada 26 September lalu, ibu kepada mangsa yang berada di Bangladesh menerima panggilan daripada suspek yang menyatakan mangsa kini ditahan mereka dan dia dikehendaki membayar 500,000 taka Bangladesh untuk melepaskan mangsa.

“Ibu mangsa kemudian membayar sejumlah wang kepada suspek melalui akaun bank di Bangladesh keesokannya dan suspek berjanji akan melepaskan mangsa dalam masa dua hari.

“Oleh kerana ibu mangsa tidak menerima sebarang berita mengenai anaknya, dia meminta abang kandungnya untuk membuat laporan polis pada 30 September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, bertindak atas maklumat, pada jam 4 petang hingga 4.10 petang kelmarin, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menahan dua lelaki Bangladesh di Beranang.

“Susulan tangkapan kedua-dua suspek, polis menahan dua lagi lelaki Bangladesh di Semenyih.

“Hasil soal siasat membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan semak di Jalan Taming Jaya 10, Kawasan Industrial Park, Seri Kembangan,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. Punca kejadian dipercayai, mangsa dibunuh kerana mengenali suspek,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108 bagi membantu siasatan.

BUKAN KES PERTAMA CULIK WARGA BANGLADESH

Pernah jadi bulan Feb 2022. Polis Klang Selatan menahan tujuh lelaki tempatan di sekitar Shah Alam dan Klang awal pagi semalam disyaki terlibat dengan kes penculikan seorang pekerja binaan warga Bangladesh.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata, kesemua suspek lelaki berusia 20 hingga 25 tahun diberkas, antara pukul 1.30 hingga 4 pagi selepas adik mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 1 pagi pada hari yang sama.

Katanya menurut laporan, adik mangsa berusia 32 tahun itu menerima panggilan daripada seorang suspek menggunakan telefon milik abangnya berusia 38 tahun kira-kira pukul 8.57 malam, pada Khamis lepas.

“Menerusi panggilan itu, suspek memaklumkan abangnya itu ada bersama mereka dan meminta RM50,000 sekiranya mahu dilepaskan atau jika enggan memberikan wang mereka akan pergi ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hampir sejam kemudian kumpulan suspek itu telah datang dengan membawa mangsa dan telah memukul adiknya dan tiga rakannya di rumah tersebut, sebelum suspek beredar dengan membawa sekali mangsa.
Katanya, mangsa berjaya ditemui di tepi jalan di Shah Alam kira-kira pukul 1.31 pagi hari sama selepas ditinggalkan suspek. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 22 Februari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 365.

Sementara itu, Polis Shah Alam sedang menyiasat kes berkenaan video tular memaparkan sebuah kereta yang memandu di lorong motosikal pada Rabu lepas di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dari arah arah Klang ke Kuala Lumpur.

Ketua Timbalan Polis Daerah Shah Alam Ramsay Anak Embol dalam kenyataan berkata hasil siasatan awal mendapati seorang wanita berumur 69 tahun yang memandu dari rumahnya di Banting telah tersesat jalan, untuk pergi ke rumah anak saudaranya di Pandamaran.

“Pemandu itu telah panik dan hendak membuat pusingan U namun tersalah masuk ke laluan motosikal. Warga emas itu kemudian berhenti dan mengundurkan kenderaan untuk keluar semula ke laluan betul di Lebuh Raya Kesas,” katanya.

Beliau berkata kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan dan kecederaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Sumber: HM

Share.

Leave A Reply