Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu mahkamah pada Rabu bahawa, sumbangan RM13 juta daripada pemborong tekstil, Junaith Asharab Md Shariff kepada Yayasan Akalbudi (YAB) bukan satu bentuk rasuah sebaliknya, sumbangan pembinaan masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datuk.

Yayasan Akalbudi Terima Sumbangan RM13 Juta Bukan Rasuah Tapi 'Ini' Sebabnya..

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika prosiding bela diri hari kelima, bagi kes 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana YAB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ketika ditanya peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Ahmad Zahid berkata, kenyataan itu diakui sendiri oleh Junaith ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-36 di mahkamah sebelum ini.

Menurutnya, sumbangan menerusi 23 cek tersebut telah diisukan oleh Syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services dan dimasukkan ke akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co melalui Junaith.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa Junaith adalah seorang India Muslim yang datang daripada keluarga yang sangat kaya, kemampuannya melampaui orang-orang biasa.

Tambahnya, beliau dimaklumkan bahawa Junaith telah menyumbang atas pembinaan sebuah masjid di India dengan tulisan 30 Juzuk ayat-ayat al-Quran pada masjid itu dibuat daripada emas dan perkataan ‘Bismillah’ di permulaan setiap surah dibuat daripada berlian.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, atas sumbangan itu, beliau tidak pernah menjanjikan penganugerahan projek MyEG kepada Mastoro Kenny IT Consultant & Services.

Ini kerana katanya, MyEG bukan di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebaliknya Kementerian Kewangan.

Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa telah menerima kesemua cek secara rasuah daripada syarikat itu melalui Junaith.

Katanya, keterangan Junaith sendiri jelas menyatakan bahawa cek tersebut adalah merupakan sumbangannya untuk pembinaan masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datuk.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Prosiding di hadapan Hakim Sequerah bersambung esok.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply