YB Anwar Ibrahim Ada Sokongan Majoriti. Ini Komen DS Mohamad Hasan. | KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan hanya gimik ulangannya yang pernah dilakukan pada September 2008.

tokmat

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakannya juga seakan mahu mempengaruhi pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung Sabtu ini.

“Mungkin untuk cuba mempengaruhi pengundi Sabah yang akan membuang undi 26 September ini,” katanya.

Beliau juga berkata, setakat ini, UMNO masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sebarang perubahan dokongan mesti diputuskan dalam parti.

“UMNO masih lagi bersama untuk mendokong dan menyokong kerajaan PN. Jika ada sebarang perubahan pendirian sokongan, ia mestilah di putuskan oleh parti,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengumumkan mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, orang politik, terutama Ahli Parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat biarpun memiliki surat akuan bersumpah (SD) lebih daripada separuh bilangan ahli Dewan Rakyat.

“Ini semua tidak bermakna. Lucut atau tidak kuasa pemerintahan ditentukan dalam Dewan Rakyat dengan ahli yang dapat hadir sendiri mengundi dan tidak boleh dilakukan secara proksi atau diwakili melalui SD.

“Perdana Menteri mesti mengadap (Yang di-Pertuan) Agong apabila beliau hilang sokongan untuk meletak jawatan Perdana Menteri dan mohon sama ada Agong bubar Parlimen untuk mengada PRU (Pilihan Raya Umum) atau melantik Ahli Parlimen lain yang (baginda) tuanku berpendapat mempunyai sokongan majoriti ahli dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan sewajarnya dan Ahli Parlimen tidak boleh sesuka hati bertindak mengikut kehendak masing masing.

“Walaupun mendakwa mempunyai bilangan penyokong yang cukup, pandai pandai mahu tubuh kerajaan tanpa dijemput oleh Agong berbuat demikian,” katanya.

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply