Istilah ‘katak’ untuk wakil rakyat yang melompat parti menjadi bualan rakyat Malaysia apabila tindakan itu mencetuskan beberapa krisis politik.

parlimen

Krisis yang tiada kesudahan itu menyaksikan dua Perdana Menteri (PM) iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletak jawatan.

Bekas Perdana Menteri ketujuh dan kelapan ini meletakkan jawatan susulan hilang sokongan majoriti.

Mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, Datuk Seri Ismail Sabri selaku PM kesembilan memeterai sebuah  memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH).

Memorandum persefahaman tersebut telah dimeterai pada September lepas demi kestabilan politik negara.

RUU Anti Lompat Parti antara perkara dalam MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan itu yang perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen.

Sehubungan itu, Ismail Sabri selaku Ketua Majlis Parlimen bersetuju agar Parlimen mengadakan satu sidang khas pada 11 April depan bagi tujuan tersebut.

Beliau turut memberi jaminan persidangan akan dilanjutkan sekiranya tempoh masa satu hari tidak mencukupi.

Undian ahli-ahli Parlimen bakal menentukan sama ada usul berkenaan diluluskan atau sebaliknya.

Ia memerlukan sokongan majoriti dua per tiga iaitu sekurang-kurang 148 ahli Parlimen menyokong kerana melibatkan pindaan Perlembagaan.

Sekali gus, untuk mengelak ia dicabar oleh mana mana pihak di mahkamah.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan ahli Parlimen parti itu dan PH telah siap sedia untuk membahas serta menyokong RUU tersebut.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mewajibkan 38 ahli Parlimen dari UMNO, dua MCA, seorang masing-masing MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hadir pada tarikh berkenaan.

Katanya, pindaan perlembagaan tersebut perlu diluluskan pada bulan ini juga memandangkan pilihan raya umum semakin hampir untuk diadakan.

“Bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada tahun 2018 apabila berlaku ‘lompat parti’, ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang perlu sama menyokong pindaan ini,” ujarnya.

Apa yang penting adalah kesemua 220 ahli Parlimen mesti hadir melainkan ada urusan kecemasan.

Kegagalan kerajaan meluluskan usul berkaitan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada 23 Mac lalu tidak boleh dibiarkan berulang sekali lagi.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply